Monday, October 12, 2009

Buat Ilham, anak abi yang abi sayang..

Ilham sayang,

Beberapa hari lepas ummi ada hubungi abi di sini, ketika abi sedang kalut menguruskan jadual pengajian abi untuk sem yang baru. Ummi bertanya pada abi satu soalan yang agak aneh. Abi anggap perkara tersebut aneh lantaran abi terasa perkara tersebut terlalu mendasar dan tersangat asas. Perbincangan mengenainya juga belum pernah abi ikuti di mana-mana ruang walaupun sekali sepanjang hidup abi ini ,menambahkan lagi rasa aneh tersebut di benak hati.

Ummi bertanya pada abi adakah benar seseorang anak itu tidak lagi wajib mentaati ayah dan ibunya setelah mencapai usia baligh dan hanya berkewajipan untuk berlaku baik (birrul walidain) sahaja pada kedua-duanya. Setelah berbual lebih lanjut abi dapat tahu yang soalan ini timbul kerana ummi terbaca entry dalam sebuah blog yang berpengaruh. Pemilik blog tersebut menyatakan setelah usia anak mencapai tahap baligh, dia tidak lagi wajib untuk taat pada orang tuanya namun hanya sekadar berlaku baik sudah memadai. Maka sesorang anak tidak perlu mentaati ibu bapanya dalam soal pemilihan kerja, pemilihan jodoh apa lagi soal pemilihan jemaah islam yang mahu disertai. Katanya, tidak ada kaedah di dunia yang mengatakan kalau ayah tabligh maka anak perlu jadi tabligh, kalau ayah hizbu tahrir maka anak perlu jadi hizbu tahrir.

Abi cakap pada ummi, abi boleh setuju dengan kenyataan tu. Memang tidak wajar seorang ayah memaksa anak mengikut jemaah yang ayahnya mahukan. Tapi kalaulah itu yang menjadi sebab untuk menafikan kewajipan untuk mentaati ibu bapa, abi berpendapat bahawa dakwaan itu terlalu dangkal, tidak kukuh dan lebih utama tiada dalil dari nas yang dikemukan oleh penulis. Perkara ini tak lebih seperti marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Ilham anak abi sayang,

Abi telah merujuk beberapa kitab tafsir seperti Tafsir al-Quran al- Azim tinggalan Ibn Kathir r.a, Tafsir Munir karya Dr. Wahbah Zuhaily hafizahullah, juga abi sempat lihat kitab pengetahuan Islam Fi Zilal al-Quran karangan Syed Qutb r.a. dan abi tidak dapati seorang pun daripada mereka yang menyatakan kewajipan taat pada ibu bapa terhenti setelah seseorang anak itu mencapai usia baligh. Abi terus membaca beberapa tulisan orang orang berilmu. Abi berjumpa tulisan yang berkisar tentang sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abi Daud,
Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata:

Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (untuk berjihad) lalu baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?” Dia menjawab: “Ibubapa aku.” Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?”
Dia menjawab: “Tidak.” Rasulullah bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua. Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.”
Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – no: 2530 (Kitab Jihad, Bab Berkenaan seorang lelaki yang berperang tetapi tidak disukai oleh ibubapanya).


I

Cuba Ilham baca komentar Imam Shaukani tentang hadith ni :

Dalam hadis (di atas) terdapat petunjuk bahawa berbuat baik kepada ibubapa adalah lebih utama daripada berjihad. Manakala sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah di dalamnya terkandung dalil bahawa wajib (hukumnya) meminta izin ibubapa di dalam urusan berjihad dan yang sedemikian adalah pendapat jumhur ulama’. Dan mereka memutuskan dengan keharaman berjihad jika kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka menegah (anak mereka) daripada berjihad kerana sesungguhnya berbuat baik kepada ibubapa adalah fardhu ‘ain manakala jihad adalah fardhu kifayah. Akan tetapi apabila hukum jihad jatuh fardhu ‘ain maka tidak perlu meminta izin (daripada mereka berdua)

(Nail al-Authar, jld. 4, ms. 687)


Di sini abi nak ajak Ilham sama-sama berfikir tentang beberapa point yang relevan dengan hadith dan isu yang kita bincangkan ni :

1) Rasulullah s. a.w. bersabda : “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua. Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.” Mengapa Rasullulah s.a.w menjadikan syarat untuk dia turut hadir dalam jihad ialah sekiranya diizinkan oleh ibu bapanya dan sekiranya tidak diizinkan, hendaklah dia terus tinggal bersama orang tuanya di Yaman dan berbuat baik kepada mereka. Apalah gunanya meminta izin melainkan untuk ditaati. Dan dalam hal ini juga tiada pilihan yang diberikan oleh kepada Rasulullah s.a.w. kepada lelaki dari Yaman tersebut sama ada untuk taat ataupun tidak pada arahan ibu bapa atau sebaliknya melainkan mesti taat.

2) Sabda Rasulullah s.a.w. "Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.” Bukankah di sini Rasulullah s.a.w membayangkan pada lelaki dari Yaman tersebut andai sekiranya dia tidak diizinkan hendaklah dia mentaati perintah kedua-duanya dan berlaku baik kepada kedua-duanya. Jadi, taat dan patuh kepada ibu bapa merupakan salah satu bentuk 'birrul walidain' yang paling utama di samping bentuk bentuk lain yang masih banyak. Sememangnya antara birrul walidain dan taat itu mempunyai pertalian yang rapat dan kukuh, bukan 2 perkara yang tidak dapat dicampur aduk dan dibezakan syara'.

3) Secara tabienya, orang lelaki yang keluar berjihad pastilah lelaki yang sudah baligh. Andai baligh menjadi garis penamat untuk kewajipan mentaati ibu bapa, nescaya Rasulullah s.a.w. tidak akan membiarkan status lelaki tersebut (sama ada boleh keluar jihad atau tidak) ditentukan oleh ibu bapanya bahkan dia sendiri yang lebih berhak tentukan untuk dirinya.


Ilham buah hati abi,

Persoalan ketaatan kepada ibu bapa sebenarnya jauh lebih besar daripada apa yang disangka oleh sesetengah orang, sehingga penderhakaan kepada mereka merupaka dosa besar yang diancam dengan azab dalam hadith- hadith Nabi kita s. a.w (kita minta lindung daripadanya). Sekiranya perselisihan antara ayah dan anaknya lah yang menjadi punca timbulnya persoalan ni, kita harus selesaikan dengan cara lain, bukan dengan cara begini. Secara fitrahnya, ibu bapa akan melarang sesuatu perkara kerana pada pandangan dia perkara itu akan memudharatkan anaknya. Mereka juga akan menyuruh sesuatu perkara kerana pada pandangan mereka perkara itu baik untuk anak mereka. Andai kata terdapat percanggahan antara anak dan ibu-bapanya dalam menilai sesuatu perkara sama ada baik atau buruk, duduklah bersama bercakaplah dengan lembut dengan mereka. Berdoa pada Allah supaya mereka boleh memahami pilihan kita. Sekiranya mereka telah nampak kebaikan dalam pilihan kita, mereka akan membenarkannya lantaran kasih sayang mereka dan keinginan untuk melihat anak mereka mendapat kebaikan. Namun andai kata mereka tetap dengan keputusan mereka, bersabarlah dan bertawakal, Allah sangat sayang orang yang bertawakal. Teladanilah hadith yang abi sebutkan tadi. Kalaulah dalam soal jihad saja pun Rasulullah s.a.w menyuruh kita mentaati kedua dua orang tua kita, maka dalam soal "nak pilih jemaah mana' pastinya lebih aula utnuk kita mentaati mereka. jangan Ilham sesekali lupa pesanan Rasulullah s.a.w. " Redha Allah terletak pada redha ibu bapa dan murka Allah terletak pada murka ibubapa"(Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa) dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.)

Ilham anak manja abi,

Abi dan ummi telah banyak bersusah payah besarkan Ilham. Kami telah korbankan segalanya yang kami ada untuk Ilham, dan kami tak pernah ragu-ragu untuk terus berkorban untuk Ilham kerana kami sangat bahagia punya Ilham sebagai anak. Ilham jadilah anak yang solehah, yang mentaati Allah dan Rasul-Nya. Yang berbakti kepada ayah dan ibunya serta agamanya. Kami tak mengharapkan apa pun balasan lain melainkan ketaatan dalam setiap perkara yang tidak bercanggah dengan syara' ketika kami masih hidup dan doa yang berterusan setelah kami tiada lagi nanti. Andai abi dan ummi salah, maafkan la kami, dan berlembutlah dengan kami, bagitahu apa salah kami. Kalau Ilham mahu kebaikan sentiasa ada dengan Ilham, percayalah abi dan ummi lebih mahukan perkara itu ..lebih daripada apa yang Ilham rasa dan harap.

Abi ummi sentiasa doakan Allah pelihara Ilham dan Ilham sentiasa berada dalam landasan sunnah. Semoga Ilham akan temui kebahagiaan di dunia dan akhirat selamanya..





Abi yang sangat menyayangimu

2 comments:

Abdul Munir Sanusi said...

coretan ini sangat menyentuh
time ksih tuan bad

Anonymous said...

mohon utk rujukan...Insyaallah satu hari nnt akan tahu juga...kerana ketidak mampuan utk mmbca buku ilmiah yg besar2, cukup
sekadarnya buat diri ini mmbaca n3 sahabat bolgger, samada silent reader atau dengan keizinan bgini.