Thursday, June 18, 2009

ما لا يتم الواجب إلا به فهوالواجب

Aku mengenali 'usrah' seawal usia 13 tahun. Lebih tepat ketika aku mula mendaftar sebagai pelajar tingkatan peralihan Maahad Muhammadi Lelaki Kota Bharu, Kelantan. Bermula detik itu, usrah la menjadi medan utama aku menimba pelbagai ilmu yang tak mungkin aku temui dalam kelas. Melalui usrah aku diajar cara hidup seorang muslim, kewajipan berdakwah kepada manusia dan sebagainya. Usrah juga memperkenalkan aku kepada tokoh-tokoh gerakan Islam seluruh dunia. Sebagai seorang yang datang dari keluarga yang 'biasa-biasa' sahaja..aku sangat bersyukur kerana dipilih Allah untuk memperoleh ilmu-ilmu sebegini berbanding rakan-rakan yang lain yang sudah pun berkenalan dengan 'tarbiah dan dakwah' sejak dalam kandungan lagi dek kerana ayah dan ibu mereka merupakan orang yang telah pun terlibat secara langsung dalam dunia gerakan Islam.

Semakin usia ku meningkat aku makin dekat dengan bahan tarbiah usrah. Bermula dari persoalan-persoalan asas sebagai muslim hinggalah kepada perbincangan tentang daulah. Menurut usrah yang aku ikuti, daulah merupakan sesuatu yang wajib ditegakkan oleh muslim kerana dengan daulah lah dapat dilaksana hukum syariah. Maka dengan maksud itu, menyertai jemaah@gerakan islam (seperti PAS, ABIM,JIM,ISMA, dll) hukumnya ialah wajib kerana melalui jemaah lah daulah akan terhasil. Hubungan antara penyertaan dalam gerakan Islam dengan penghasilan sebuah daulah Islamiah diumpamakan sebagai hubungan antara wudhu dengan solat. Berwudhu menjadi wajib ketika ingin mendirikan solat kerana solat itu tidak akan terhasil (baca:sah) melainkan adanya wudhu. Ini berdasarkan prinsip asas dalam feqah iaitu 'ما لا يتم الواجب إلا به فهو الواجبٍ

Sekarang, aku merupakan pelajar tahun satu Jabatan Undang-Undang Kuliah Syariah Universiti Ummul Qura, Makkah al Mukarramah. Antara subjek muqarrar sem kali ni ialah Usul fiqh lil Qadha'. Kitab Nihayatul Sul karangan Imam Asnawi rahimahullah menjadi santapan utama untuk subjek ni. Satu hari, kami belajar tentang sesuatu perkara yang mengucar kacirkan semula pendirian kau selama ni. Tajuk muhadarah hari tu ialah 'ما لا يتم الواجب إلا به فهوالواجب '. Secara ringkas kaedah ini membawa erti sesuatu perkara yang menjadi perkara yang menjadi syarat untuk sahnya/berhasilnya sesuatu perkara wajib di sisi syara itu hukumnya wajib. Di dalam perincian, perkara yang menjadi menjadi syarat wajib untuk sahnya/berhasilnya sesuatu perkara wajib di sisi syara' ini terdiri daripada beberapa komponen iaitu :

1) Sebab- السبب

1. Perkara yang sekiranya dia ada, maka perkara wajib itu akan ada
2. Perkara yang sekiranya dia tiada maka perkara wajib itu tidak akan ada
3. Perkara yang menjadi sebab itu bukanlah sebahagian daripada perkara wajib itu
4. Contoh- Tergelincirnya Matahari merupakan sebab kepada wajibnya solat Zuhur. Sekiranya Matahari tak tergelincir maka tidak wajib untuk solat Zuhur. Tergelincirnya matahari itu pula bukanlah sebahagian daripada solat tapi merupakan sebab untuk diiktirafnya solat itu

2) Syarat- الشرط

1. Perkara yang sekiranya dia tiada, maka perkara wajib itu pun tiada
2. Perkara yang sekiranya dia ada, tidak semestinya perkara wajib itu akan ada
3. Perkara yang sekiranya dia ada, tidak semestinya perkara wajib itu tiada
4. Perkara yang menjadi syarat itu bukanlah sebahagian daripada perkara wajib itu.
5. Contoh- Wudhu merupakan syarat kepada wujudnya sesebuah solat itu (solat yang tidak sah dianggap syara' sepeti tiada/tidak dikerjakan ). Sekiranya wudhu tiada, solat tidak akan ada. Sekiranya wudhu ada tidak semestinya solat itu akan dikira ada juga (misalnya orang berwudhu tapi untuk memegang mashaf al-Quran). Sekiranya wudhu ada, solat jugak tidak semesti tiada kerana mungkin juga orang itu berwudhu untuk solat, dan wudhu itu bukan la sebahagian dari solat tetapi menjadi syarat untuk diiktiraf solat itu.

Ada 2 lagi komponen iaitu rukun- الركن dan Illah- العلة tapi aku kira yang dua ini tidak ada kaitan dengan tajuk kali ini

Imam Asnawi juga menyatakan bahawa perkara yang menjadi komponen kepada terhasilnya perkara wajib ini (disebut muqaddimah wajibat) juga boleh dibahagi kepada beberapa sifat, antaranya :

- Perkara yang menjadi komponen ini mestilah bersifat ''mesti ada'(aku tambah : kalau tiada, tak boleh) untuk wujudnya perkara wajib itu. Contohnya : Tergelincirnya matahari (sebab) dan berwudhu( syarat) merupakan perkara yang kalau tiada 2 benda ni takkan dikira solat itu. Sesiapa yang solat Zuhur sebelum tergelincir matahari tidak dikira solatnya sebab tiada sebab dan sesiapa yang solat zuhur selepas tergelincir matahari tetapi takde wudhu tetap tak sah sebab tiada syarat.

Rentetan dari pengajian ini aku mula berfikir akan ketepatan kaedah ini untuk dijadikan hujah mewajibkan sesorang itu menyertai jemaah yang ada hari ini. Dalam hal ini membentuk daulah dikira sebagai wajib (perkara ini juga kita akan bincang tetapi di waktu lain). Maka tinggallah persoalan menyertai jemaah yang dikatakan sebagai komponen kepada wujudnya perkara wajib itu. Adakah dia sebab atau syarat? Sekiranya ingin katakan ia sebagai sebab maka aku rasakan ianya kurang tepat kerana salah satu ciri sebab ialah 'Perkara yang sekiranya dia tiada maka perkara wajib itu tidak akan ada'. Hakikatnya, ketika masih belum wujud lagi jemaah jemaah seperti yang kita kenal sekarang di dunia, daulah dan khilafah islamiah telah lama terbentuk iaitu sejak dari zaman rasulullah sehinggalah zaman khilafah uthmaniah turki dan kewajipan melaksanakan undang-undang allah di muka bumi ini sudah lama termaktub dalam syariat sebelum era penubuhan jemaah jemaah ini pun. Maka dengan itu tertolak lah menyertai jemaah sebagai sebab kepada wujudnya daulah. Begitulah juga halnya dengan syarat. Syarat juga bererti 'Perkara yang sekiranya dia tiada, maka perkara wajib itu pun tiada'. Hakikatnya daulah islamiah telah lama wujud sebelum sistem gerakan islam yang ada pada hari ini diperkenalkan.

Tambah lagi, sifat yang perlu ada untuk menjadi 'muqaddimat wajibat' ialah 'Perkara yang menjadi komponen ini mestilah bersifat 'mesti ada' untuk wujudnya perkara wajib itu. Dalam erti
kata lain, tidak ada pilihan lain untuk menggantikannya. Misalnya wudhu merupakan syarat untuk solat. Tiada pilihan (tayamum hanya dibenarkan bila tiadanya kemampuan menggunakan air. Tayamum bukan satu pilihan). Soalnya, adakah melalui jemaah- jemaah ini sahaja daulah baru boleh terbentuk dan tidak ada pilihan lain selain jalan ini? Bukankah penubuhan jemaah- jemaah ini merupakan ijtihad daripada para pengasas sebagai jalan untuk mengembalikan daulah semula yang telah lenyap dan bukannya perkara qatie yang telah diputuskan oleh syara seperti wudhu tadi. Bagaimana mungkin untuk dikiaskan sesuatu perkara qatie, yang tiada pilihan lain selain dia dengan perkara ijtihad yang terdedah kepada silap dan betul.

Aku menulis perkara ini bukan bermaksud aku ingin memperlekehkan usaha dakwah dan tarbiah yang dilakukan oleh ahli ahli jemaah yang ada. Aku cuma terkesan dengan beberapa insiden yang berlaku di hadapan mataku sendiri yang menyaksikan orang orang yang telah menggabungkan diri dalam jemaah tertentu 'memandang sebelah mata' kepada orang yang tidak terlibat dalam gerakan seperti mereka. Pada tanggapan mereka, mereka ini golongan yang tidak melaksanakan kewajipan dalam Islam, tidak bekerja untuk Islam dan tidak berjihad sekalipun orang tersebut merupakan seorang alim yang mengajar ratusan ummat, seorang ayah yang telah berjaya mendidik anak-anaknya mentaati Allah dan Rasul. Dia tetap dianggap tidak bekerja untuk Islam 'kerana tidak ada jemaah'!

Ya, aku boleh bersetuju berjuang tegakkan Islam ialah kewajiban setiap individu. Aku juga bersetuju berusaha membina daulah satu tuntutan untuk memastikan undang-undang Allah dapat dijalankan. Tetapi cara untuk mendapatkan daulah itu luas dan pelbagai. Mengikut ijtihad dan kemampuan masing-masing dan menyertai jemaah bukanlah satu-satunya cara untuk bekerja untuk Islam ataupun berjuang mendapatkan daulah. Sekiranya kita mengatakan hukum berjemaah itu wajib sepertimana wajibnya wudhu maka di sini akan timbul beberapa kesan ;

1. Hanya dengan menyertai jemaah sahaja daulah boleh terbentuk dan tidak dengan cara lain.
2. Sekiranya jemaah jemaah telah wujud maka perjuangan-perjuangan membina daulah melalui jalan lain dikira tidak sah dan tidak diiktiraf syara' (sepertimana tidak sahnya tayammum ketika sudah ada kemampuan untuk menggunakan air)
3. Orang -orang alim, ulama ulama yang mengajar dan mendidik manusia tetapi mereka tidak terlibat dalam mana-mana jemaah akan dikira tetap berdosa kerana tidak menyertai jemaah dan tidak bekerja untuk Islam. Ini kerana apabila wudhu merupakan fardhu ain untuk tiap musolli (orang yang ingin solat) sekiranya ditinggal orang itu berdosa dan dia tidak kira menunaikan solat.

Kesimpulannya, marilah kita sama -sama bekerja untuk Islam dan menyumbang kepada keagungan Islam mengikut cara yang bersesuaian dengan diri kita tanpa sedikit pun merasa cara-cara lain yang dipilih merupakan cara yang tidak diiktiraf syara', yang tidak mendatangkan hasil dan tidak melepaskan si pelakunya dari dosa. Walaupun seorang ayah tidak berintima dengan mana-mana jemaah tetapi dia menunaikan tanggungjawab mendidik anaknya mengenal dan mentaati Allah dan Rasulnya sebenarnya dia telah pun menunaikan tanggungjawab dakwahnya dan juga telahpun bekerja untuk Islam. Dia tidak sepatutnya dituduh tidak menunaikan tanggungjawab sebagai orang Islam. Dia pasti akan diganjari setimpal dengan amalnya walaupun mungkin pahalanya tidaklah sebanyak pahala aktivis yang turun ke medan masyarakat yang lebih luas namun untuk mengatakan dia tidak tunaikan kerja untuk Islam, aku fikir payah untuk aku bersetuju. Sesungguhnya jalan dakwah dan jihad itu luas. Maka pilihlah semahu diri tanpa menafikan pilihan orang!

8 comments:

ahmad said...

setuju! hal ni sering berlaku di kalangan orang yg ikut usrah..mereka memandang sesuatu dengan horizon yang sempit. Tapi tak semua la macam tu.

ahmad said...

Izinkan ana menambah lagi tentang mereka yang bekerja untuk gerakan Islam.

1. Mereka hidup dalam lingkungan yang sangat eksklusif, menyebabkan mereka kurang arif dgn realiti masyarakat iaitu mad'u itu sendiri, dan menyebabkan sasaran dakwah tidak tercapai.

2. Ke mana kita mengajak manusia? Kepada Allah dan agama yang diredhaiNya,Islam.

Namun, kewujudan gerakan Islam ini seolah2 telah memecahkan Islam yang syumul itu kepada ideologi2 yang kecil. Sedangkan Islam itu sendiri telah syumul, dan tak perlu kepada ideologi tambahan untuk 'lebih mensyumulkannya'.

3. Hidup adalah ibadah.

Makan, tidur, menunaikan hak isteri dan keluarga, bersosial adalah ibadah.

Namun, mereka yang bekerja untuk gerakan, sering terlupa hakikat ini, dan memandang bahawa bekerja untuk gerakan itulah ibadah.

Sedangkan, ibadah itu luas maknanya.

Tulisan ini tidak berniat untuk mengguris hati sesiapa. Maaf andai ada yang terguris.

Wallahu a'lam.

hanis said...

terima kasih...menjawab persoalan yg sudah lama terpendam..

Anonymous said...

Salam
Ana setuju terdapat sesetengah (bukan semua) penggerak dakwah yang ‘memandang sebelah mata’ individu yang tidak berada dalam jemaah dan ini sesuatu yang perlu diperbetulkan. Tetapi ana kurang bersetuju jika dikatakan beramal secara jamaie (dalam jemaah) itu tidak wajib.
Beberapa persoalan:
1. Apakah ada cara lain untuk tertegaknya daulah selain gerak kerja dalam tanzim yang tersusun yang pastinya menuntut kepada pembentukan jemaah?
2. Rasulullah juga tidak bergerak secara individu, tetapi dalam gerakan jemaah yang teratur bersama-sama sahabat-sahabat seperjuangan.Point di sini, semasa zaman kegemilangan Islam itu sendiri, di belakangnya terdapat gerakan dalam jemaah(dengan kehendak dan pertolongan Allah jua yang pastinya).
Dulu ana juga pernah berfikiran seperti ini. Tapi setelah membaca beberapa buku karangan pemimipin Ikhwan , (amat panjang untuk dihuraikan, mungkin nta pn prnh bc Maza Ya’ni n Bagaimana Kita Menyeru kepada Islam) terdapat satu hujah kukuh betapa wajib bekerja secara jemaah. Mungkin isu ‘bias’ akan timbul sebab mereka lah yang berijtihad dalam isu jemaah ini, tetapi dalil-dalil yang diberi seperti tak dapat disangkal yang meyakinkan ana tentang kewajipan itu.
Mungkin ijtihad mereka boleh jadi betul dan salah, tapi jika salah sekalipun Allah tetap memberi ganjaran. Dan di kala dunia Islam yang semakin meruncing, punya pilihankah kita?

Anonymous said...

1. Bekerja secara jama'ie memang sunnah. Rasulullah s.a.w. sendiri bekerja secara jama'ie dan melakukan syura bersama para sahabat.

2. Namun, dalam IM, ibadah juga dijama'iekan. Mendorong sesetengah ahli gerakan Islam untuk melakukan ibadah untuk memenuhi kriteria yang ditentukan jemaah. Contohnya, qiam jama'ie sebulan sekali. Benar ia merupakan suatu tarbiyah. Namun, cuba kita susuri sistem pentarbiyahan yg paling mantap, yakni sistem pentarbiyahan Rasulullah s.a.w. Adakah baginda pernah mewajibkan suatu ibadah jama'ie, selain solat 5 waktu?

3. Islam itu syumul, dan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. itu syumul, dan tak perlu ada sistem lain yang perlu kita guna, selain sistem yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w.

4. Tentang usrah itu sendiri, adakah Rasulullah pernah mentarbiyah para sahabat demikian?

Dengan menentukan murabbi bagi kumpulan2 kecil, dan murabbi2 tersebut bertanggungjawab menilai mutarabbinya dari segi ibadah dan akhlak.

Di sini, akan timbulnya rasa untuk menjadi baik agar murabbi dapat meningkatkan dia ke tahap seterusnya.

Malah, silibus yang perlu diikuti bagi setiap tahap juga dicerakin2kan menurut majlis tertinggi jemaah.

Setakat ilmu ana, Rasulullah tak pernah berbuat demikian. Baginda tak pernah membahagi2kan sahabat kepada kumpulan2 kecil utk ditarbiyah oleh seorang sahabat yang lebih hebat akhlak dan ilmunya.

Apa yg baginda lakukan adalah, baginda mengumpulkan mereka semua di masjid, dan mentarbiyah mereka di masjid secara beramai2, dan semua mengikut silibus yang sama tanpa terpecah2.

5. Berada dalam gerakan Islam juga, ibadah yang tak wajib menjadi wajib seperti puasa seminggu sekali, usrah seminggu sekali, program sebulan sekali.

Sedangkan, Islam telah sempurna. Apa yang tidak wajib tetap tidak wajib, dan pihak jemaah tidak berhak untuk mewajibkan mana2 ibadah kepada para ahlinya.

6. Ana bersetuju kita perlu bergerak secara jama'ie kerana ia sunnah. Namun, harus dipastikan, gerakerja sentiasa selari dgn sunnah Rasulullah s.a.w.

Wallahu a'lam.

everjihad said...

saya secara kebetulan (dan mungkin ditakdirkan) terjumpa blog ni secara tak sengaja. tapi mungkin Allah sengajakan.

takpela. itu tak penting.

saya macam agak setuju dengan pendapat anoni.

saya pun masih baru dengan usrah. dan pasal jemaah ni baru didedahkan. pendapat saya yang masih hijau ni, mungkin terlalu kerdil. tapi selama saya mengikuti program-program yang ditetapkan oleh wadah tertentu, saya ada merasakan kebaikan mempunyai jemaah.

cuma paling penting, kita jangan terlampau skopkan sampai 'taksub' pada jemaah. walhal kita bekerja untuk islam bukan hanya untuk jemaah sahaja.

sebab kadang2 terdapat beberapa jemaah islam. dan memandangkan gerak kerja berbeza, pendekatan yang diguna berbeza ada yang kadangkala ibarat seperti tak sehaluan.

namun hal ini tak sepatutnya berlaku seandainya kita punya matlamat yang satu. menegakkan khilafah islam kembali. kerja dakwah takkan selesai selagi semua manusia belum menerima maklumat tentang kebenaran islam.


gerak kerja mungkin berbeza, wadah dan jemaah mungkin berbeza, namun biar kita punya satu fikrah, satu matlamat, satu tujuan. gerakerja berbeza tidak bermakna kita tak dapat bergerak bersama. cuma perlu persefahaman dan hormat akan pendapat antara satu sama lain.

tak perlu ada rasa,
'pendapat ni paling betul'
'pendapat tu salah'

walau apapun caranya, semua cara tu adalah yang terbaik asalkan masing2 FAHAM peranan kita sebagai khalifah dan masing2 memainkan peranan.

jauh di sudut hati saya, janganlah sampai kita nak adakan jemaah tapi ummah makin berpecah belah.

walau cara macamana pun patut tak menjadi masalah asal bergerak pada matlamat yang sama.

saya ada je kawan yang kurang didedahkan dengan usrah dan tentang tarbiyah jauh sekali. tapi apa yang saya cuba bimbing dia dari semasa, adalah perkara-perkara asas.

supaya bila diri dapat menjadi individu yang benar-benar muslim, akan terbentuk pula baitul muslim dan seterusnya kerajaan dan negara islam.


maaf andai tersalah mana2 bicara. hanya sekadar meluahkan pendapat peribadi. boleh mengkritik dan menambah apa yang kurang. sekian.

wallahu'alam.

dhuha sakeenah said...

Huhu..ruang comment ini rasanya dah buka 1 tajuk baru yang berbeza dari perbincangan asal.

Pada hemat saya, isu yang ingin dibawakan oleh suami saya adalah mengenai kewajaran menggunakan kaedah usul fiqh (seperti yang dinyatakan) untuk menentukan kewajipan menyertai jemaah. Dan perkara semasa yang dibawa hanyalah untuk menunjukkan KESAN sekiranya kaedah usul fiqh tersebut digunakan dalam menentukan hukum dan bukanlah isu utama.

Lebih enak rasanya jika perbincangan ini methodnya adalah usul fiqh juga. Dan perlu diingatkan, entry ini berbentuk PERBINCANGAN dan bukanlah sebuah KEPUTUSAN. Maka ada baiknya kita berbincang secara lebih ilmiah. Jangan menidakkan sumbangan siapa sahaja kepada islam samada berjemaah atau tidak [kami suami isteri juga menyertai jemaah dan lebih menarik jemaah kami berbeza ^_~].

Saya pernah diberitahu naqibah "kewajipan berjemaah adalah seperti kewajipan menunaikan solat (yakni) jika ditinggalkan adalah berdosa". Pulang dari usrah, saya bertanya kepada suami dan kami berbincang. Benarkah begitu? Sekiranya ia seperti kewajipan solat, adakah kita bersungguh mengajak orang menyertai jemaah seperti kita bersungguhnya kita memastikan setiap orang menunaikan solat pada waktunya?

Keadaan semasa tidak memperlihatkan fenomena yang sebegitu. Malah dalam mengajak orang berjemaah masih ada saringan orang-orang plihan. Dan sesetengah jemaah masih mengamalkan konsep sirr wa hazar. Maka, wajarkah kita mengatakan orang yang tidak berjemaah berdosa?

Dan persoalan ini membawa kepada kaedah usul yang digunakan untuk menentukan hukum berjemaah. Akhirnya sampailah kami ke perbincangan ini.

-THE WIFE-

rijal_iqtisad said...

Salam,
Tulisan yang menarik. Mungkin konklusinya ialah penggunaan kaedah fiqh itu tak berapa tepat dalam isu menyertai jemaah kerana hanya beberapa jemaah sahaja yg menggunakan kaedah fiqh tersebut utk menggalakkan org lain menyertai jemaah mereka.

Adapun dalil menunjukkan kewajipan bekerja dalam jemaah boleh didapati daripada dalil2 quran dan sunnah yang lebih kuat berbanding jika dikaitkan dengan kaedah fiqh tersebut.

Apapun memilih mana2 jemaah itu adalah perkara ijtihadi, kerna itu tidak boleh ta'asub dan menyalahi orang lain.

Mgkn boleh rujuk kitab muntalaq utk kefahaman mendalam mengenai bekerja dalam jemaah utk membentuk daulah.

Allahua'lam