Monday, October 12, 2009

Buat Ilham, anak abi yang abi sayang..

Ilham sayang,

Beberapa hari lepas ummi ada hubungi abi di sini, ketika abi sedang kalut menguruskan jadual pengajian abi untuk sem yang baru. Ummi bertanya pada abi satu soalan yang agak aneh. Abi anggap perkara tersebut aneh lantaran abi terasa perkara tersebut terlalu mendasar dan tersangat asas. Perbincangan mengenainya juga belum pernah abi ikuti di mana-mana ruang walaupun sekali sepanjang hidup abi ini ,menambahkan lagi rasa aneh tersebut di benak hati.

Ummi bertanya pada abi adakah benar seseorang anak itu tidak lagi wajib mentaati ayah dan ibunya setelah mencapai usia baligh dan hanya berkewajipan untuk berlaku baik (birrul walidain) sahaja pada kedua-duanya. Setelah berbual lebih lanjut abi dapat tahu yang soalan ini timbul kerana ummi terbaca entry dalam sebuah blog yang berpengaruh. Pemilik blog tersebut menyatakan setelah usia anak mencapai tahap baligh, dia tidak lagi wajib untuk taat pada orang tuanya namun hanya sekadar berlaku baik sudah memadai. Maka sesorang anak tidak perlu mentaati ibu bapanya dalam soal pemilihan kerja, pemilihan jodoh apa lagi soal pemilihan jemaah islam yang mahu disertai. Katanya, tidak ada kaedah di dunia yang mengatakan kalau ayah tabligh maka anak perlu jadi tabligh, kalau ayah hizbu tahrir maka anak perlu jadi hizbu tahrir.

Abi cakap pada ummi, abi boleh setuju dengan kenyataan tu. Memang tidak wajar seorang ayah memaksa anak mengikut jemaah yang ayahnya mahukan. Tapi kalaulah itu yang menjadi sebab untuk menafikan kewajipan untuk mentaati ibu bapa, abi berpendapat bahawa dakwaan itu terlalu dangkal, tidak kukuh dan lebih utama tiada dalil dari nas yang dikemukan oleh penulis. Perkara ini tak lebih seperti marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Ilham anak abi sayang,

Abi telah merujuk beberapa kitab tafsir seperti Tafsir al-Quran al- Azim tinggalan Ibn Kathir r.a, Tafsir Munir karya Dr. Wahbah Zuhaily hafizahullah, juga abi sempat lihat kitab pengetahuan Islam Fi Zilal al-Quran karangan Syed Qutb r.a. dan abi tidak dapati seorang pun daripada mereka yang menyatakan kewajipan taat pada ibu bapa terhenti setelah seseorang anak itu mencapai usia baligh. Abi terus membaca beberapa tulisan orang orang berilmu. Abi berjumpa tulisan yang berkisar tentang sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abi Daud,
Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata:

Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (untuk berjihad) lalu baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?” Dia menjawab: “Ibubapa aku.” Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?”
Dia menjawab: “Tidak.” Rasulullah bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua. Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.”
Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – no: 2530 (Kitab Jihad, Bab Berkenaan seorang lelaki yang berperang tetapi tidak disukai oleh ibubapanya).


I

Cuba Ilham baca komentar Imam Shaukani tentang hadith ni :

Dalam hadis (di atas) terdapat petunjuk bahawa berbuat baik kepada ibubapa adalah lebih utama daripada berjihad. Manakala sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah di dalamnya terkandung dalil bahawa wajib (hukumnya) meminta izin ibubapa di dalam urusan berjihad dan yang sedemikian adalah pendapat jumhur ulama’. Dan mereka memutuskan dengan keharaman berjihad jika kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka menegah (anak mereka) daripada berjihad kerana sesungguhnya berbuat baik kepada ibubapa adalah fardhu ‘ain manakala jihad adalah fardhu kifayah. Akan tetapi apabila hukum jihad jatuh fardhu ‘ain maka tidak perlu meminta izin (daripada mereka berdua)

(Nail al-Authar, jld. 4, ms. 687)


Di sini abi nak ajak Ilham sama-sama berfikir tentang beberapa point yang relevan dengan hadith dan isu yang kita bincangkan ni :

1) Rasulullah s. a.w. bersabda : “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua. Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.” Mengapa Rasullulah s.a.w menjadikan syarat untuk dia turut hadir dalam jihad ialah sekiranya diizinkan oleh ibu bapanya dan sekiranya tidak diizinkan, hendaklah dia terus tinggal bersama orang tuanya di Yaman dan berbuat baik kepada mereka. Apalah gunanya meminta izin melainkan untuk ditaati. Dan dalam hal ini juga tiada pilihan yang diberikan oleh kepada Rasulullah s.a.w. kepada lelaki dari Yaman tersebut sama ada untuk taat ataupun tidak pada arahan ibu bapa atau sebaliknya melainkan mesti taat.

2) Sabda Rasulullah s.a.w. "Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.” Bukankah di sini Rasulullah s.a.w membayangkan pada lelaki dari Yaman tersebut andai sekiranya dia tidak diizinkan hendaklah dia mentaati perintah kedua-duanya dan berlaku baik kepada kedua-duanya. Jadi, taat dan patuh kepada ibu bapa merupakan salah satu bentuk 'birrul walidain' yang paling utama di samping bentuk bentuk lain yang masih banyak. Sememangnya antara birrul walidain dan taat itu mempunyai pertalian yang rapat dan kukuh, bukan 2 perkara yang tidak dapat dicampur aduk dan dibezakan syara'.

3) Secara tabienya, orang lelaki yang keluar berjihad pastilah lelaki yang sudah baligh. Andai baligh menjadi garis penamat untuk kewajipan mentaati ibu bapa, nescaya Rasulullah s.a.w. tidak akan membiarkan status lelaki tersebut (sama ada boleh keluar jihad atau tidak) ditentukan oleh ibu bapanya bahkan dia sendiri yang lebih berhak tentukan untuk dirinya.


Ilham buah hati abi,

Persoalan ketaatan kepada ibu bapa sebenarnya jauh lebih besar daripada apa yang disangka oleh sesetengah orang, sehingga penderhakaan kepada mereka merupaka dosa besar yang diancam dengan azab dalam hadith- hadith Nabi kita s. a.w (kita minta lindung daripadanya). Sekiranya perselisihan antara ayah dan anaknya lah yang menjadi punca timbulnya persoalan ni, kita harus selesaikan dengan cara lain, bukan dengan cara begini. Secara fitrahnya, ibu bapa akan melarang sesuatu perkara kerana pada pandangan dia perkara itu akan memudharatkan anaknya. Mereka juga akan menyuruh sesuatu perkara kerana pada pandangan mereka perkara itu baik untuk anak mereka. Andai kata terdapat percanggahan antara anak dan ibu-bapanya dalam menilai sesuatu perkara sama ada baik atau buruk, duduklah bersama bercakaplah dengan lembut dengan mereka. Berdoa pada Allah supaya mereka boleh memahami pilihan kita. Sekiranya mereka telah nampak kebaikan dalam pilihan kita, mereka akan membenarkannya lantaran kasih sayang mereka dan keinginan untuk melihat anak mereka mendapat kebaikan. Namun andai kata mereka tetap dengan keputusan mereka, bersabarlah dan bertawakal, Allah sangat sayang orang yang bertawakal. Teladanilah hadith yang abi sebutkan tadi. Kalaulah dalam soal jihad saja pun Rasulullah s.a.w menyuruh kita mentaati kedua dua orang tua kita, maka dalam soal "nak pilih jemaah mana' pastinya lebih aula utnuk kita mentaati mereka. jangan Ilham sesekali lupa pesanan Rasulullah s.a.w. " Redha Allah terletak pada redha ibu bapa dan murka Allah terletak pada murka ibubapa"(Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa) dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.)

Ilham anak manja abi,

Abi dan ummi telah banyak bersusah payah besarkan Ilham. Kami telah korbankan segalanya yang kami ada untuk Ilham, dan kami tak pernah ragu-ragu untuk terus berkorban untuk Ilham kerana kami sangat bahagia punya Ilham sebagai anak. Ilham jadilah anak yang solehah, yang mentaati Allah dan Rasul-Nya. Yang berbakti kepada ayah dan ibunya serta agamanya. Kami tak mengharapkan apa pun balasan lain melainkan ketaatan dalam setiap perkara yang tidak bercanggah dengan syara' ketika kami masih hidup dan doa yang berterusan setelah kami tiada lagi nanti. Andai abi dan ummi salah, maafkan la kami, dan berlembutlah dengan kami, bagitahu apa salah kami. Kalau Ilham mahu kebaikan sentiasa ada dengan Ilham, percayalah abi dan ummi lebih mahukan perkara itu ..lebih daripada apa yang Ilham rasa dan harap.

Abi ummi sentiasa doakan Allah pelihara Ilham dan Ilham sentiasa berada dalam landasan sunnah. Semoga Ilham akan temui kebahagiaan di dunia dan akhirat selamanya..





Abi yang sangat menyayangimu

Thursday, June 18, 2009

ما لا يتم الواجب إلا به فهوالواجب

Aku mengenali 'usrah' seawal usia 13 tahun. Lebih tepat ketika aku mula mendaftar sebagai pelajar tingkatan peralihan Maahad Muhammadi Lelaki Kota Bharu, Kelantan. Bermula detik itu, usrah la menjadi medan utama aku menimba pelbagai ilmu yang tak mungkin aku temui dalam kelas. Melalui usrah aku diajar cara hidup seorang muslim, kewajipan berdakwah kepada manusia dan sebagainya. Usrah juga memperkenalkan aku kepada tokoh-tokoh gerakan Islam seluruh dunia. Sebagai seorang yang datang dari keluarga yang 'biasa-biasa' sahaja..aku sangat bersyukur kerana dipilih Allah untuk memperoleh ilmu-ilmu sebegini berbanding rakan-rakan yang lain yang sudah pun berkenalan dengan 'tarbiah dan dakwah' sejak dalam kandungan lagi dek kerana ayah dan ibu mereka merupakan orang yang telah pun terlibat secara langsung dalam dunia gerakan Islam.

Semakin usia ku meningkat aku makin dekat dengan bahan tarbiah usrah. Bermula dari persoalan-persoalan asas sebagai muslim hinggalah kepada perbincangan tentang daulah. Menurut usrah yang aku ikuti, daulah merupakan sesuatu yang wajib ditegakkan oleh muslim kerana dengan daulah lah dapat dilaksana hukum syariah. Maka dengan maksud itu, menyertai jemaah@gerakan islam (seperti PAS, ABIM,JIM,ISMA, dll) hukumnya ialah wajib kerana melalui jemaah lah daulah akan terhasil. Hubungan antara penyertaan dalam gerakan Islam dengan penghasilan sebuah daulah Islamiah diumpamakan sebagai hubungan antara wudhu dengan solat. Berwudhu menjadi wajib ketika ingin mendirikan solat kerana solat itu tidak akan terhasil (baca:sah) melainkan adanya wudhu. Ini berdasarkan prinsip asas dalam feqah iaitu 'ما لا يتم الواجب إلا به فهو الواجبٍ

Sekarang, aku merupakan pelajar tahun satu Jabatan Undang-Undang Kuliah Syariah Universiti Ummul Qura, Makkah al Mukarramah. Antara subjek muqarrar sem kali ni ialah Usul fiqh lil Qadha'. Kitab Nihayatul Sul karangan Imam Asnawi rahimahullah menjadi santapan utama untuk subjek ni. Satu hari, kami belajar tentang sesuatu perkara yang mengucar kacirkan semula pendirian kau selama ni. Tajuk muhadarah hari tu ialah 'ما لا يتم الواجب إلا به فهوالواجب '. Secara ringkas kaedah ini membawa erti sesuatu perkara yang menjadi perkara yang menjadi syarat untuk sahnya/berhasilnya sesuatu perkara wajib di sisi syara itu hukumnya wajib. Di dalam perincian, perkara yang menjadi menjadi syarat wajib untuk sahnya/berhasilnya sesuatu perkara wajib di sisi syara' ini terdiri daripada beberapa komponen iaitu :

1) Sebab- السبب

1. Perkara yang sekiranya dia ada, maka perkara wajib itu akan ada
2. Perkara yang sekiranya dia tiada maka perkara wajib itu tidak akan ada
3. Perkara yang menjadi sebab itu bukanlah sebahagian daripada perkara wajib itu
4. Contoh- Tergelincirnya Matahari merupakan sebab kepada wajibnya solat Zuhur. Sekiranya Matahari tak tergelincir maka tidak wajib untuk solat Zuhur. Tergelincirnya matahari itu pula bukanlah sebahagian daripada solat tapi merupakan sebab untuk diiktirafnya solat itu

2) Syarat- الشرط

1. Perkara yang sekiranya dia tiada, maka perkara wajib itu pun tiada
2. Perkara yang sekiranya dia ada, tidak semestinya perkara wajib itu akan ada
3. Perkara yang sekiranya dia ada, tidak semestinya perkara wajib itu tiada
4. Perkara yang menjadi syarat itu bukanlah sebahagian daripada perkara wajib itu.
5. Contoh- Wudhu merupakan syarat kepada wujudnya sesebuah solat itu (solat yang tidak sah dianggap syara' sepeti tiada/tidak dikerjakan ). Sekiranya wudhu tiada, solat tidak akan ada. Sekiranya wudhu ada tidak semestinya solat itu akan dikira ada juga (misalnya orang berwudhu tapi untuk memegang mashaf al-Quran). Sekiranya wudhu ada, solat jugak tidak semesti tiada kerana mungkin juga orang itu berwudhu untuk solat, dan wudhu itu bukan la sebahagian dari solat tetapi menjadi syarat untuk diiktiraf solat itu.

Ada 2 lagi komponen iaitu rukun- الركن dan Illah- العلة tapi aku kira yang dua ini tidak ada kaitan dengan tajuk kali ini

Imam Asnawi juga menyatakan bahawa perkara yang menjadi komponen kepada terhasilnya perkara wajib ini (disebut muqaddimah wajibat) juga boleh dibahagi kepada beberapa sifat, antaranya :

- Perkara yang menjadi komponen ini mestilah bersifat ''mesti ada'(aku tambah : kalau tiada, tak boleh) untuk wujudnya perkara wajib itu. Contohnya : Tergelincirnya matahari (sebab) dan berwudhu( syarat) merupakan perkara yang kalau tiada 2 benda ni takkan dikira solat itu. Sesiapa yang solat Zuhur sebelum tergelincir matahari tidak dikira solatnya sebab tiada sebab dan sesiapa yang solat zuhur selepas tergelincir matahari tetapi takde wudhu tetap tak sah sebab tiada syarat.

Rentetan dari pengajian ini aku mula berfikir akan ketepatan kaedah ini untuk dijadikan hujah mewajibkan sesorang itu menyertai jemaah yang ada hari ini. Dalam hal ini membentuk daulah dikira sebagai wajib (perkara ini juga kita akan bincang tetapi di waktu lain). Maka tinggallah persoalan menyertai jemaah yang dikatakan sebagai komponen kepada wujudnya perkara wajib itu. Adakah dia sebab atau syarat? Sekiranya ingin katakan ia sebagai sebab maka aku rasakan ianya kurang tepat kerana salah satu ciri sebab ialah 'Perkara yang sekiranya dia tiada maka perkara wajib itu tidak akan ada'. Hakikatnya, ketika masih belum wujud lagi jemaah jemaah seperti yang kita kenal sekarang di dunia, daulah dan khilafah islamiah telah lama terbentuk iaitu sejak dari zaman rasulullah sehinggalah zaman khilafah uthmaniah turki dan kewajipan melaksanakan undang-undang allah di muka bumi ini sudah lama termaktub dalam syariat sebelum era penubuhan jemaah jemaah ini pun. Maka dengan itu tertolak lah menyertai jemaah sebagai sebab kepada wujudnya daulah. Begitulah juga halnya dengan syarat. Syarat juga bererti 'Perkara yang sekiranya dia tiada, maka perkara wajib itu pun tiada'. Hakikatnya daulah islamiah telah lama wujud sebelum sistem gerakan islam yang ada pada hari ini diperkenalkan.

Tambah lagi, sifat yang perlu ada untuk menjadi 'muqaddimat wajibat' ialah 'Perkara yang menjadi komponen ini mestilah bersifat 'mesti ada' untuk wujudnya perkara wajib itu. Dalam erti
kata lain, tidak ada pilihan lain untuk menggantikannya. Misalnya wudhu merupakan syarat untuk solat. Tiada pilihan (tayamum hanya dibenarkan bila tiadanya kemampuan menggunakan air. Tayamum bukan satu pilihan). Soalnya, adakah melalui jemaah- jemaah ini sahaja daulah baru boleh terbentuk dan tidak ada pilihan lain selain jalan ini? Bukankah penubuhan jemaah- jemaah ini merupakan ijtihad daripada para pengasas sebagai jalan untuk mengembalikan daulah semula yang telah lenyap dan bukannya perkara qatie yang telah diputuskan oleh syara seperti wudhu tadi. Bagaimana mungkin untuk dikiaskan sesuatu perkara qatie, yang tiada pilihan lain selain dia dengan perkara ijtihad yang terdedah kepada silap dan betul.

Aku menulis perkara ini bukan bermaksud aku ingin memperlekehkan usaha dakwah dan tarbiah yang dilakukan oleh ahli ahli jemaah yang ada. Aku cuma terkesan dengan beberapa insiden yang berlaku di hadapan mataku sendiri yang menyaksikan orang orang yang telah menggabungkan diri dalam jemaah tertentu 'memandang sebelah mata' kepada orang yang tidak terlibat dalam gerakan seperti mereka. Pada tanggapan mereka, mereka ini golongan yang tidak melaksanakan kewajipan dalam Islam, tidak bekerja untuk Islam dan tidak berjihad sekalipun orang tersebut merupakan seorang alim yang mengajar ratusan ummat, seorang ayah yang telah berjaya mendidik anak-anaknya mentaati Allah dan Rasul. Dia tetap dianggap tidak bekerja untuk Islam 'kerana tidak ada jemaah'!

Ya, aku boleh bersetuju berjuang tegakkan Islam ialah kewajiban setiap individu. Aku juga bersetuju berusaha membina daulah satu tuntutan untuk memastikan undang-undang Allah dapat dijalankan. Tetapi cara untuk mendapatkan daulah itu luas dan pelbagai. Mengikut ijtihad dan kemampuan masing-masing dan menyertai jemaah bukanlah satu-satunya cara untuk bekerja untuk Islam ataupun berjuang mendapatkan daulah. Sekiranya kita mengatakan hukum berjemaah itu wajib sepertimana wajibnya wudhu maka di sini akan timbul beberapa kesan ;

1. Hanya dengan menyertai jemaah sahaja daulah boleh terbentuk dan tidak dengan cara lain.
2. Sekiranya jemaah jemaah telah wujud maka perjuangan-perjuangan membina daulah melalui jalan lain dikira tidak sah dan tidak diiktiraf syara' (sepertimana tidak sahnya tayammum ketika sudah ada kemampuan untuk menggunakan air)
3. Orang -orang alim, ulama ulama yang mengajar dan mendidik manusia tetapi mereka tidak terlibat dalam mana-mana jemaah akan dikira tetap berdosa kerana tidak menyertai jemaah dan tidak bekerja untuk Islam. Ini kerana apabila wudhu merupakan fardhu ain untuk tiap musolli (orang yang ingin solat) sekiranya ditinggal orang itu berdosa dan dia tidak kira menunaikan solat.

Kesimpulannya, marilah kita sama -sama bekerja untuk Islam dan menyumbang kepada keagungan Islam mengikut cara yang bersesuaian dengan diri kita tanpa sedikit pun merasa cara-cara lain yang dipilih merupakan cara yang tidak diiktiraf syara', yang tidak mendatangkan hasil dan tidak melepaskan si pelakunya dari dosa. Walaupun seorang ayah tidak berintima dengan mana-mana jemaah tetapi dia menunaikan tanggungjawab mendidik anaknya mengenal dan mentaati Allah dan Rasulnya sebenarnya dia telah pun menunaikan tanggungjawab dakwahnya dan juga telahpun bekerja untuk Islam. Dia tidak sepatutnya dituduh tidak menunaikan tanggungjawab sebagai orang Islam. Dia pasti akan diganjari setimpal dengan amalnya walaupun mungkin pahalanya tidaklah sebanyak pahala aktivis yang turun ke medan masyarakat yang lebih luas namun untuk mengatakan dia tidak tunaikan kerja untuk Islam, aku fikir payah untuk aku bersetuju. Sesungguhnya jalan dakwah dan jihad itu luas. Maka pilihlah semahu diri tanpa menafikan pilihan orang!

Thursday, June 11, 2009

...tidak akan menyamai satu mud pun.....

SHAH ALAM: Pada hari terakhir Muktamar, saya telah ke depan, menyokong usul yang dibawa oleh PAS Tambun berhubung pembentukan Suruhnjaya Di Raja untuk mengkaji ‘rampasan kuasa’ di Perak. Dalam penghujahan saya pada hari itu, saya telah menyebut peristiwa perang Siffin dan bagaimana ianya mempunyai kaitan dengan keadaan politik kita pada ketika ini. Oleh kerana masalah masa yang diberikan amat singkat, saya tidak sempat untuk menjelaskan persoalan ini dengan lebih terperinci. Saya akan cuba lakukannya di sini.

Untuk mereka yang tidak tahu mengenai peristiwa Perang Siffin, ianya merupakan peperangan di antara tentera Saidina Ali (KW) dan Muawiyyah. Ianya berlaku pada penghujung pemerintahan Saidina Ali.

Dalam peringkat-peringkat awal peperangan ini, tentera Saidina Ali memang jelas menguasai pertempuran. Mereka mengasak kedudukan Muawiyyah hingga kelihatan seolah-olah mereka akan mencapai kemenangan. Dalam saat-saat yang genting sebegini, Amr Al-As, yang bersama Muawiyyah telah mencadangkan supaya tentera mereka meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran di hujung lembing-lembing mereka sambil melaung, “Inilah yang akan menjadi hakim di antara kita”. Tindakan ini bertujuan untuk meminta pihak Saidina Ali untuk sama-sama menghentikan peperangan dan merujukkan persoalan dan perbalahan yang sedang mereka hadapi kepada Al-Quran. Dalam erti kata lain, biarlah ianya diputuskan secara berbincang berdasarkan Al-Quran dan bukannya peperangan.

Matlamat sebenar tindakan ini dijelaskan oleh Amr Al-As sendiri. Beliau berkata kepada Muawiyyah, “Bila sebahagian dari mereka menolak, pasti akan ada kelompok yang lain yang berkata; ‘Sepatutnya kita menerima’. Maka dengan demikian akan terjadilah perpecahan di kalangan mereka. Dan sekiranya mereka semuanya sepakat untuk menerima saranan kita ini, kita mendapat kesempatan untuk menunda peperangan ini hingga waktu yang tertentu.” Penundaan ini bertujuan untuk melepaskan diri mereka dari keadaan yang begitu tertekan pada ketika itu.

Saidina Ali (KW) yang tidak kurang handalnya dalam soal peperangan serta tipu helah musuh dan juga sebagai seorang yang mengenali Muawiyyah, telah berusaha untuk meyakinkan tenteranya supaya tidak terpedaya dengan helah ini. Namun Ali tidak berjaya. Tenteranya berbalah di antara satu sama lain atas persoalan ini dan akhirnya, untuk mendamaikan mereka kembali, Saidina Ali terpaksa bersetuju.

Dengan itu tercapai hajat Amr Al-As. Tentera Ali tidak lagi mengasak kedudukan mereka, kekalahan pada hari itu dapat dielak dan akhirnya Muawiyyah mencapai kemenangan pada waktu lain selepas peristiwa itu.

Pakatan Rakyat dalam keadaan sekarang, bagaikan tentera Saidina Ali yang sedang mengasak kedudukan tentera Muawiyyah iaitu UMNO/BN. Kita maju selangkah demi selangkah dan jelas dalam BN ketakutan. Tiba-tiba ada yang mencadangkan perpaduan, perdamaian! Pakatan Rakyat, seperti tentera Saidina Ali, mula berbalah sesame kita. PKR dan DAP terpingnga-pingnga dengan sebutan-sebutan ‘perpaduan’. Malah PAS sendiri pun terbahagi dua dalam menghadapi persoalan ini. Kesatuan yang terbentuk selama ini seolah tergugat dan UMNO/BN dengan segeranya menyatakan persetujuan mereka terhadap perdamaian dan persatuan yang dicadang-cadangkan.

Syarikat kroni mereka mengibarkan sepanduk ‘Selamat Bermuktamar’ seperti mana tentera Muawiyyah meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing. Ini dinyatakan sebagai bukti keikhlasan mereka untuk ‘berdamai’ dengan kita. Tetapi seperti yang saya katakan tempohari, “apalah nilai sepanduk-sepanduk ini berbanding mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing”? Walaupun dengan mushaf-mushaf Al-Quran sendiri, sejarah membuktikan penipuan berlaku! Ya, memang, kita tidak sebaik tentera Saidina Ali. Tetapi ingat! Mereka juga jauh lebih buruk dari tentera Muawiyyah!

Seterusnya mereka akan memuji dan melambung pemimpin-pemimpin yang mencadangkan ‘perpaduan’ ini dan menyatakan betapa mereka berterima kasih dengan cadangan tersebut. Mereka bermesra dengan PAS, bermanja dengan pemimpin-pemimpin pro-perpaduan ini dan dengan itu merejamkan lembing perbalahan di antara kita!

Punca perbalahan dan ‘perpecahan’ di kalangan kita adalah kerana cadangan ‘perpaduan’ yang datang tanpa perbahasan dan tiada yang mempersetujuinya kecuali sedikit. Namun yang sedikit yang setuju bercakap bagi yang ramai yang tidak!

Yang agak pelik, dalam senario peperangan Siffin, cadangan perdamaian datangnya dari pihak yang diasak kerana hampir-hampir dikalahkan. Dalam keadaan kita sekarang, perdamaian dicadangkan oleh kita yang sedang mengasak yang hampir-hampir menang! Dengan itu akan terlepaslah peluang untuk mencapai kemenangan yang muktamad!

UMNO/BN akan menggunakan ‘persetujuan’ mereka untuk menimbangkan cadangan PAS sebagai bukti keikhlasan mereka. Penolakan oleh PKR dan DAP yang hampir pasti berlaku akan digunakan sebagai bukti ketidak-ikhlasan mereka berdua. “Mereka tidak mahu orang Islam Melayu bersatu” akan dilaungkan secara nyaring oleh pemimpin-pemimpin yang sedang seronok dilambung pujian dan sanjungan dari semua pihak. Pegawai Kerajaan, Professor Universiti, Pakar perubatan Melayu UMNO dan sebagainya akan disusun satu demi satu untuk memberi sanjungan dan akhirnya apa yang dinginkan akan berlaku, seperti berlakunya apa yang diinginkan oleh Amr Al-As dalam perang Siffin.

Perbalahan akan berlaku di antara kita di dalam PR dan malah di dalam PAS itu sendiri dan akhirnya, pemimpin-pemimpin yang disanjung dan dilambung itu akan menjadikan PAS berseorangan berpakat dengan UMNO. Tidak mungkin PAS menolak apabila cadangan itu datang dari PAS sendiri! Pemimpin pro-perpaduan ini akan berusaha supaya perhubungan kita dalam PR semakin keruh hingga akhirnya PAS diminta keluar kerana dilihat semakin rapat dengan UMNO. Akan kedengaran pada masa itu, “Bukan kami yang nak keluar, kami diminta keluar!” dan “Kalau dengan PKR dan DAP boleh bersama, takkan dengan UMNO tidak boleh”. Mereka akan bertanya kepada ahli-ahli yang masih terpingnga-pingnga dengan keadaan yang baru ini. Hanya semalam menyerang UMNO/BN, hari ini menjadi kawan? Hanya semalam bersama PR, hari ini menjadi lawan?

Adakah ini disebabkan inginkan kemenangan yang segera seperti mi segera atau mi celup? Adakah ianya kerana tidak sedar bahawa kita sebenarnya sudah berada diambang kemenangan? Atau, lagi teruk, adakah ianya disebabkan keengganan mencapai kemenangan melalui Pakatan Rakyat? Ini semua merupakan persoalan yang valid dan wajar difikirkan bersama.

Namun, yang lebih penting untuk kita fikirkan adalah implikasi kepada masa depan PAS itu sendiri. Kita akan kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India yang melihat tindakan kita sebagai khianat dan perjuangan Islam akan dilihat sebagai satu perjuangan oppurtunis yang tidak mempunyai prinsip dan asas yang kukuh. Usaha selama berpuluh tahun akan musnah begitu sahaja dengan sekelip mata.

Namun yang lebih teruk, keadaan kita akan begitu terdedah, bergantung kepada ihsan UMNO. Sekiranya kita dikhianati UMNO, ke mana hendak kita pergi? Sekiranya selepas mencapai matlamat mereka dan berpisahnya kita dari PR dan kekuatan PR tergugat, UMNO mengusir kita seperti dahulu, ke mana hendak kita pergi?

Berseorangan, bagaikan parti politik murahan, ayam tak patuk, itik tak sudu. Ke PR pun tidak dan ke BN pun tidak. 3 penjuru? Yang akan menang ialah salah satu dari dua kumpulan parti yang lain, tetapi bukan PAS! Mahu merayu dan kekal bersama ‘perpaduan’ PAS-UMNO-BN? Kerusi dimenangi UMNO tetap ditandingi UMNO. Kita bertanding kerusi yang kita menang dan kerusi yang PR menang. Dengan sokongan golongan anti-BN yang terdiri dari Cina dan India serta Melayu yang dibelakang mereka, kita akan kalah. Kecuali di Terengganu dan Kelantan.

Maka kita akan dapati diri kita tertipu seperti mana tertipunya Abu Musa As-Syaari oleh Amr Al-As dalam peristiwa tahkim yang berlangsung selepas gencatan senjata di Siffin. Peristiwa tersebut membuktikan keikhlasan sahaja tidak mencukupi. Waraq sahaja tidak mencukupi. Ilmu hukum hakam agama sahaja pun tidak mencukupi. Cerdik politik dan kenal lawan juga amat diperlukan dan saya secara peribadi dengan melihat secara jauh, sudah mula tertanya samada inikah kekurangannya di kalangan pimpinan tertinggi PAS selama ini. Kecuali Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pendirian dan sikapnya jelas menunjukkan mengapa PAS boleh bertahan di Kelantan berpuluh tahun tetapi tidak di negeri lain…

Oleh YB
.............
Yang Dipertua ... / Ahli Parlimen.....

............................................................................##.........................................................................................

Esok final exam untuk semester ni akan bermula secara rasmi. Aku macam student- student jamiah yang lain jugak..sibuk murajaah dan kalut menguruskan urusan duniawi dan ukhrawi. Aku rancang pagi ni aku nak betul-betul fokus pada murajaah memandangkan sebelah petang nanti aku perlu bergerak ke Jeddah. Aku mulakan murajaah seusai solat subuh tadi hinggalah otak terasa tepu. Berehat seketika sambil menatap berita-berita hari ni di ruangan akhbar dan blog seluruh dunia. Tiba-tiba aku terjumpa satu tulisan dari sebuah blog..blog politik! Aku perhatikan tajuk entrinya..agak menarik lantas aku terus mengamati tulisan tersebut. Natijahnya suhu badanku meningkat dan tangan aku menggeletar menahan marah dek kerana tiap baris ayatnya yang sangat 'tajam'! Marahku ini bukan kerana lain. Marahku kerana penulis entry ini bercakap tentang sekelompok manusia yang agung selepas Baginda Muhammad s.a.w. dengan nada bahasa yang biadap,mengelirukan dan berbohong! Kalau lah bukan kerana examku esok merupakan awlawiyatku buat masa sekarang pasti aku kan habiskan masa aku untuk menjawab segala tohmahan dan kebejatan dalam entry tersebut . Buat masa sekarang aku hanya sempat menghiglightkan beberapa perkara dan memberi ulasan ringkas mengenainya. Antaranya:

1)
Amr Al-As, yang bersama Muawiyyah telah mencadangkan supaya tentera mereka meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran di hujung lembing-lembing mereka sambil melaung, “Inilah yang akan menjadi hakim di antara kita” - Ini sejarah versi Abu mikhnaf yang masyhur dengan kecenderungannya terhadap syiah. Bila perawi cerita ini bermasalah maka kita harus berhati-hati dalam meriwayatkan cerita daripadanya apatah lagi yang berkenaan dengan sahabat. Apakah benar inilah cadangan Amru al-As r.a pada Muawiyah r.a ataupun yang sebenarnya Amru al-As mencadangkan pada Muawiyah r.a supaya menghantar mashaf kepada Ali r.a. sebagai tanda ajakan diplomasi dan bukannya mengarahkan setiap tentera mengangkat mashaf dengan hujung lembing. Ini perlu pada kajian detail (Aku kategorikan kenyataan ni sebagai mengelirukan since dia quote dari riwayat perawi bermasalah)

2)telah berusaha untuk meyakinkan tenteranya supaya tidak terpedaya dengan helah ini. Namun Ali tidak berjaya. Tenteranya berbalah di antara satu sama lain atas persoalan ini dan akhirnya, untuk mendamaikan mereka kembali, Saidina Ali terpaksa bersetuju. - Ini satu lagi riwayat versi Abu Mikhnaf yang mana perlu diberi penilaian. Adakah benar ceritanya begitu ataupun sebenarnya Ali r.a. yang mahu berdamai dan menghentikan peperangan dengan memberi respon positif terhadap pelawaan kem Muawiyah r.a. namun ditentang oleh sebahagian tenteranya yang bertaraf qurra' (baca: penghafal Al-Quran) yang kemudiannya dikenali sebagai geng Khawarij. (Lagi sekali perincian terhadap fakta ini perlu dilakukan kerana ini juga riwayat yang mengelirukan)

3) kedudukan tentera Muawiyyah iaitu UMNO/BN. - Saidina Muawiyah r.a. dikiaskan sebagai Umno/ BN??!! Kebiadapan apakah ini? Seorang sahabat besar yang menjadi orang kepercayaan Baginda Muhammad s.a.w dalam mencatat wahyu dan juga menjadi pegawai kepercayaan para Khalifah untuk memimpin bumi Syam (baca : Syria, Jordan, Lubnan dan Palestin) disamakan dengan sebuah parti yang jelas tidak bersungguh dalam menegakkan syariat Allah di bumi. Mungkin benar beliau tersalah dalam ijtihad lantas tersalah memerangi Khalifah yang sah namun adakah sama kedudukan seorang mujtahid yang tersalah ijtihad dengan ahli-ahli sebuah parti politik sangat sedikit cintanya pada Islam dan hanya bertarung demi survival cita-cita politiknya, bukannya kerana ingin mencari kebaikkan untuk ummah? (Analogi ini sungguh biadap dan sangat dekat dengan bohong)

3)
Syarikat kroni mereka mengibarkan sepanduk ‘Selamat Bermuktamar’ seperti mana tentera Muawiyyah meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing. - Lagi sekali kenyataan ini perlu dinilai semula ketepatannya. Sikap yang baik bagi seorang mu'min ialah memeriksa kesahihan suatu berita yang diterima apatah lagi kalau berita itu ingin disampaikan pada orang lain pula.


4)
Maka kita akan dapati diri kita tertipu seperti mana tertipunya Abu Musa As-Syaari oleh Amr Al-As- Ayat yang sangat biadap terhadap seorang sahabat Baginda Muhammad s.a.w. yang telah pun mendapat jaminan keredhaan Allah! Bagaimana mungkin kita memperihalkan seorang manusia yang terpilih untuk menjadi pendamping kepada Rasulullah s.a.w. dengan sifat-sifat seperti 'PENIPU?!' Rujuklah semula sumber-sumber sahih dan pasti kita akan temui kebenaran dalam peristiwa tahkim dan ketinggian peribadi para sahabat yang mulia. Kekanglah lidah daripada berkata sesuatu yang buruk terhadap sahabat kerana mereka merupakan golongan yang telah dimuliakan Allah.


Mengikut metodologi aljarh wa ta'dil, seseorang yang dianggap penipu tidak akan diterima periwayatan hadithnya kerana tidak amanahnya dia dalam menaqalkan urusan agama. Dengan itu, sekiranya kita berani menuduh sahabat-sahabat baginda sebagai penipu dan sebagainya maka secara tidak langsung perkara ini akan membawa maksud bahawa sahabat juga tidak amanah dalam membawa risalah agama kepada generasi selepas mereka (tabien dll). Dengan itu rosaklah sistem agama kita selama ini dan hilanglah keisitimewaan Islam sebagai agama yang terpelihara dari sebarang penyelewengan dek kerana pembawa-pembawa agama selepas kewafatan baginda terdiri daripada orang yang tidak amanah dan menipu (kepada Allah kita mohon perlindungan)

Aku tak punya masa ingin mengulas panjang. Jauh sekali mampu untuk bercerita tentang kebenaran sejarah para sahabat, kepentingan berbaik sangka pada mereka dalam waktu begini. Aku juga ingin sekali berbual panjang tentang metodologi yang perlu difahami dlam meriwayatkan cerita- cerita sirah dari kitab Imam at-Tabari (Beliau imam yang banyak jasanya namun ramai orang tersalah cara dalam memahami kitabnya), namun aku terlalu sibuk buat masa sekarang. Catatan ringkas ini aku lakukan supaya aku ingat bahawa aku punya tugas untuk diselesaikan nanti-membela kemuliaan para sahabat r.a. Juga catatan ringkas ini aku lakukan buat jadi bimbingan untuk isteriku Marhamah dan anak-anakku kelak. Pada Allah aku pohon ampun atas segala kekurangan dan moga Dia sentiasa memandu kita semua kearah kebenaran yang hakiki..yang jauh dari sebarang syubhah dan omongan palsu!


عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ

Dari Abu Sa’id Al Khudriy Radhiyallahu’anhu beliau berkata: Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam telah bersabda: ‘Janganlah kalian mencela para sahabatku. Seandainya salah seorang dari kalian berinfaq emas seperti gunung uhud tidak akan menyamai satu mud (infaq) salah seorang dari mereka dan tidak pula setengahnya.( Riwayat Bukhari dan Muslim)



Pencinta Muhammad dan sahabat..

abu ilham


p/s : http://bahayairan.wordpress.com/category/syubhat-syubhat/ (website ni boleh dibaca untuk menambah bahan maklumat)

Wednesday, May 13, 2009

Tuesday, March 31, 2009

Bahasa Terindah

Yang diucap dalam bahasa terindah.
jawapan yang bertanya didengar nabi.
antara kagum dan khusuk setiap ayatnya.
lereng gunung menjadi amat sunyi.
suara sajak tegas bergema.
disampai arah berkias maksud serentak,
tapi jelas intinya.
tidak sedetikpun Allah menghindar.
atau mencemuh nabi disisi segala didoa.
dipenuhi segala yang dipinta tulus dan,
penuh baraqah.
yatim ia tak berlindung,
tidakkah tersedia juga bumbung baginya.
awal begitu bergantung,
kini tidakkah merdeka,
bebas hidupnya.

#di saat hati sedang rawan memikirkan nasib bidadari yang seorang itu bertarung nyawa sendirian, aku cuba menghiburkan diri dengan lafaz indah tiap bait ini. Cuba ingatkan diri yang kasih Tuhan tak bersempadan.

Tuesday, March 17, 2009

Sebelum mata terlena

Aku kini di bandar nabi. Bandar yang menjanjikan seribu fadhilat bagi mereka yang bersabar dengan kesusahan yang ditanggung ketika berada di dalamnya. Bandar yang telah berubah wajah setelah menerima kehadiran manusia agung yang seorang itu. Bandar yang telah diberkati cupak dan gantangnya.

Aku cuba mencari ketenangan di sini. Jauh dari biah yang telah biasa denganku. Aku ingin mencari semula titik permulaan bagi menyambung amanah perjuangan. Aku akan kembali ke Makkah. Aku akan kembali ke Abidiah. Moga kali ini dengan hati yang lebih jernih untuk berpayung semula di bawah bayangan Kaabah.

Saat manusia sudah pun melelapkan mata aku masih lagi terbayang bidadari yang satu itu. Dia yang sedang bertarung nyawa sendirian untuk menghadiahkanku zuriat. Aku tahu jiwanya derita ditinggal sendiri. Aku mengerti hatinya terluka bila ketiadaan teman saat menangis tanggung kesakitan. Namun dia masih mampu tersenyum bila berhadapan denganku dulu. Masih mampu bercanda ketika bersama di telefon atau di alam maya. Aku jadi kagum dengan kekuatan jiwa luar biasa yang dia pamerkan. Seolah- olah dia telah menyaksikan ganjaran syurga untuk isteri yang bersabar dengan mata kepalanya. Maha suci Allah yang menciptakan kekuatan yang luar biasa tersebut di dalam jiwa bidadari yang satu itu.

Aku perlu berhenti menulis sekarang supaya aku dapat menyambungnya lagi. Aku perlu tidur sekarang supaya aku dapat bangun lagi. Tuhan, bersaksilah..hambamu kini sangat memerlukan Mu

Rintihan Hati Di Pinggir Nabawi

menangis melutut di kaki nabi
amal tak lagi berseri
iman masih belum terpatri
jiwa kini hampir mati

menangis melutut di kaki nabi
pandangan tadabur kian kabur
langkah gempur tidak teratur
semangat tempur terasa mengendur

menangis melutut di kaki nabi
adakah masih dikira umat
atau habuan hanyalah laknat

abu ilham
madinah munawwarah.

Dedikasi buat diriku yang makin jauh dari pancaran cahaya Ilahi..kembalilah sementara masih diberi peluang..

Sunday, December 14, 2008

Tanggungjawab Lebih Banyak Daripada Masa Yang Ada

Bila tengok tarikh pada entry terakhir yang aku postkan, rasanya dah hampir sebulan aku tidak menulis. Sungguh, aku terlalu sibuk untuk menulis. Ramai yang bertanya pada aku 'bila lagi nak update blog?'. Jawapan aku pasti sama, ' nak menulis kena dengan hati..buat masa sekarang hati belum mahu menulis'. Ya, aku hanya akan menulis bila aku yakin penulisan aku akan diiringi dengan rasa hati yang sedar dan peka. Kata orang kena ada 'feel' dulu. Aku rasa ramai blogger setuju dengan pendapat aku ni dan untuk itu aku rasa kredit harus diberikan pada blogger yang rajin mengemaskini blog mereka biarpun dalam tuntutan tugas seharian yang sentiasa menghambat (sebagai contoh kamitaken dan dhuhasakeenah yang rajin update blog..respeklah!).

Sepanjang sebulan lepas memang banyak perkara yang telah terjadi yang patut direkod. Bermula dengan berlangsungnya kursus haji anjuran PPM Makkah kemudian disambung dengan qiyamulail dan muzakarah haji pada keesokan harinya. Secara peribadi aku menganggap 2 program ini berjaya-segala pujian hanya milik Allah- kerana objektifnya tercapai dan ahli-ahli PPM telah menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam menguruskan perjalanan program. Setinggi-tinggi penghargaan kepada teman-teman PPM dan juga abg khuzzaini and the team atas sokongan padu yang diberi. InsyaAllah, tahun depan kita buat lagi!

Habis je 2 program ni aku terus dijemput untuk memenuhi beberapa undangan 'ceramah haji' di Makkah dan Jeddah. Aku bukan alim yang mampu menyelesaikan semua persoalan manusia cuma hamba yang sedang diuji oleh tuhannya. Observation aku untuk perkara ini- Ummah sangat dahagakan bimbingan dan tunjuk ajar dari pelajar-pelajar agama dan sangat tidak wajar untuk penuntut ilmu berpangku tangan dan tidak bergerak kehadapan 'belajar dan mengajar'. Ilmu merupakan amanah dan amanah akan dipersoalkan kelak. Apa pun, aku bersyukur sangat kerana dengan undangan ini aku berpeluang mengintai keperluan masyarakat seterusnya mengingatkan diriku tentang tuntutan yang wajib dipenuhi.

Tiba musim haji, semuanya sibuk dengan rutin ibadah yang sarat dengan falsafah tu. Aku selaku wakil tuan rumah terpaksa membahagikan masa aku antara ibadah peribadi dengan melayan dan mengurus kunjungan tetamu dari seluruh tempat ke PPM Mekah. Ada yang datang berziarah, ada juga yang tumpang menginap di rumah PPM Mekah sepanjang musim haji. Harmoni dan mesra enviromentnya bila penuntut-penuntut ilmu dari merata tempat berkumpul di bawah satu bumbung dan bersosial. Kemuncaknya berlangsung perjumpaan pelajar Malaysia sedunia yang ada di tanah haram ketika itu. Wakil-wakil pelajar Malaysia dari Mesir, Jordan, Sudan dan Arab Saudi sendiri bertemu mata dalam satu majlis yang ringkas, sederhana tapi penuh maknanya (harap tahun depan wakil UK, Yaman dan lain-lain dapat hadir yer :>). Sekali lagi kredit yang besar harus diberikan pada ahli-ahli PPM yang bertungkus lumus menjayakan perjumpaan ini biarpun dalam kesibukan dan kepenatan haji masing-masing terutamanya Falah selaku programmer yang dedikasi, Din dan Wadi selaku iron chef dan lutfi sebagai photographer.

Sekarang, semuanya semakin kembali kepada jadual asal. Ramai daripada kami yang kurang sihat dek musim haji yang baru sahaja berlalu. Rumah PPM juga agak kelam kabut lagi sementara menunggu untuk di kemas semula. Namun, bagi aku ini apa yang telah terjadi sepanjang sebulan lepas merupakan bukti hidup (living proof) yang mengisyaratkan bahawa PPM Makkah sememangnya mampu mentadbir dan menguruskan masyarakat. Ahli-ahli PPM memang berkebolehan untuk menjadi fasilitator kepada ummah dan aku pohon taufik dari Allah untuk terus memberikan PPM Makkah kekuatan dalam meneruskan langkah.

Pagi ini, aku sangat rindukan isteri dan anak aku. Pengorbanan mereka sangat besar dan hanya Allah yang layak membalasnya. Dalam rajuk dan tangis, bidadari yang satu tu tetap menyokong dan menjadi nafas dalam tiap gerak kerja ku. Blog ini sendiri mendapat sentuhan kasihnya (cantik kan header baru blog ni). Dia perempuan yang sangat menarik. Dalam kemanjaan dan kelembutan, terpancar kekentalan dan ketabahan mujahidah yang sedang bertarung dengan hidup. Dia isteri yang sememangnya aku dambakan. Dia teman karib yang sangat aku perlukan dalam safar perit ini. Moga Allah menghitung kebaikan dunia akhirat untuk bidadari yang satu ini dengan tiap debu yang melekat pada tubuhku ketika menuntut ilmu, dengan tiap hela nafasku ketika meyampai ilmu dan dengan tiap titis air mataku ketika aku rindu.

Hari semakin siang. Aku perlu bereskan banyak lagi tugas. Perbincangan dengan Husaini, perbualan dengan Abd Rahman Melaka dan perjumpaan dengan Faizal Tehrani 2 hari lepas memenuhkan lagi diari hidup aku dengan catatan 'ada kerja yang perlu dibuat'. Tanggungjawab lebih banyak dari masa yang aku miliki sekarang. Moga kaki ini terus gagah melangkah.

Saturday, November 15, 2008

It's Never Too Late

Aku tak tahu sebenarnya bagaimana harus aku mulakan bicara ini. Sebetulnya aku langsung tidak mahu mengulas panjang persoalan kepimpinan PPM Makkah sama ada yang sudah lepas ataupun yang aku terajui sekarang. Aku tidak mahu buang masa dengan perkara seumpama itu. Tugas semakin banyak, masa semakin terhad dan cabaran semakin besar. Tiap kelalaian akan mengundang padah buat persatuan. Namun feedback yg diperolehi melalui blog-blog sekitar Makkah, Jeddah, dan Malaysia usai AGM berkenaan jawatankuasa PPM yang baru sedikit menggusarkan aku lantas menyebabkan aku mengambil keputusan untuk turut menyatakan pandangan dan pendirian aku terhadap perkara ini.

Jujurnya aku berterima kasih dan berasa senang hati atas ucapan tahniah yang tak putus-putus dari teman-teman atas perlantikan ini. Ini bermakna mereka meyambut baik dan bersedia memberikan peluang kepada aku dan rakan-rakan lain untuk meneruskan agenda dan misi persatuan. Memang itu yang aku harapkan. Namun aku juga berharap agar tiada sebarang perbandingan dibuat antara barisan kepimpinan sekarang dan yang lepas kerana perkara itu hanya akan menimbulkan kekeruhan dan keretakan untuk jangka masa panjang.

Tiap pasukan punyai kelemahan dan kekuatan masing-masing. Dan persatuan dibina bertujuan untuk mengumpul seterusnya mengembleng kekuatan-kekuatan yang ada untuk kebaikan bersama. Bukan tempat untuk mempamer kejaguhan masing-masing. Jauh sekali untuk mencari dan mendedah aib teman sepersatuan. Aku kira aku bertuah kerana dipilih untuk menerajui sebuah persatuan yang mempunyai variasi dari sudut pemikiran dan tingkah laku. Itu menjadikan persatuan ini indah dan memberikan harapan yang tak pernah kunjung malap. Umpama pelangi yang hadir seusai renyai hujan. Indahnya pelangi kerana berbilangnya warna dan nada. Munculnya pelangi menandakan masih ada sinar mentari selepas hujan.

Tidak aku nafikan permasalahan-permasalahan yang biasa( coomon issues) sememangnya wujud di kalangan ahli. Sedang rumahtangga sepasang kekasih yang dibina atas dasar cinta bisa tergugat sesekali dilambung badai, inikan pula 'rumahtangga' yang dibina hasil dari kecenderungan dan kefahaman yang berbeza. Namun bagi aku, itu tidak menjadi faktor wajib untuk gagalnya pelayaran sebuah bahtera yang bernama persatuan pelajar. Percayalah, sebuah bahtera hanya bergerak disebabkan adanya gelombang dan badai di tengah lautan. Jika tiada ombak,tiada badai mahupun angin memukul sekali sekala, nescaya bahteratersebut akan berhenti berlayar dan hilang 'kebahteraannya.'

Kini, PPM Makkah sekali lagi membuka lembaran baru dalam episod perjuangannya. Walaupun dengan gerak kerja dan strategi yang berbeza namun masih lagi dengan misi yang sama dengan dokongan ahli-ahli yang punyai segala macam kemahiran yang diperlukan. Lutfi yang sentiasa dedikasi dengan tugas yang diamanahkan dan selalu berjaya memainkan peranan sebagai orang tengah. Nawi seorang manusia yang dianugerahi Allah semangat dan pendirian yang teguh. Sesekali membuat aku terkejut dan terharu dalam diam bila mendengar pendirian dan tindakan yang terpancar dari jiwanya yang setia. Din yang selalu mampu membuka horizon pandangan yang luas kepada semua ahli terhadap sesuatu perkara. Harus disebut juga ipin yang sentiasa berkobar-kobar semangatnya untuk menyumbang. Wadi dan Falah yang sangat boleh diharapkan untuk melaksanakan tugas dengan baik. Ayub yang penyabar dan teliti serta Shahir,seorang mudah diajak berbincang dan prihatin terhadap urusan persatuan. Sokongan yang tak putus-putus juga turut datang dari ahli-ahli yang lain seperti Hakim, Hafiz, Mey dan Meor baik dari segi khidmat, sumbangan intelektual dan spiritual termasuk kritikan yang membina. Semua ini menjanjikan harapan dan masa depan yang cemerlang buat persatuan dengan izin Allah.

Aku ingin menutup bicara ini menyatakan harapanku kepada masyarakat awam yang sentiasa mengikuti perkembangan PPM. Sokongan dan doa dari kalian sangat diharapkan. Berikan kami semua peluang untuk terus buktikan bahawa PPM Makkah bukanlah sekadar sebuah persatuan picisan tetapi persatuan yang 'hidup' dan mampu menjadi moderator kepada masyarakat. Andai ada kesilapan, tegurlah dan bimbinglah. Andai ada kebaikan, terimalah dan doakan kami istiqomah dan ikhlas dalam amal.

Buat teman-teman PPM semua, fajar kemenangan sedang menyinsing dihadapan. Kita merupakan ruh baru yang mengalir dalam jasad ummah. Pujian takkan sekali memajukan kita dan kejian tak pernah dapat bantutkan langkah kita. Kita akan terus bersatu dan melangkah bersama untuk kejayaan jemaah kita. Tiap kita adalah puntung kayu berbara yang bila terkumpul akan melahirkan julangan api yang berbahang. Kita akan mulakan sekarang..

Percayalah saudara-saudara kecintaanku...it's never too late!

Monday, November 10, 2008

Pakcik kata..(2)

Hari ini pakcik cerita lagi. Pakcik kata yang alam ini dalil kepada wujudnya pencipta yang agung. Kalau pandang dengan mata hati pasti tersingkap keajaiban yang sukar ditafsirkan. Pakcik kata dalam surah an-Naba dicerita pasal penciptaan yang agung. Antaranya pasal gunung yang tercipta sebagai pasak bumi. Gunung dijadikan sebagai 'paku' bumi supaya keaadaan bumi stabil. Hamba wali tanya " sekarang banyak jer gunung dah ditarah..bumi ok jer lagi..tak bergetar pun'. Pakcik senyum. Dia minta kertas dan pen lalu terus melukis. Pakcik kata selain dari bumi ada lagi bahan yang dicipta untuk stabilkan bumi. Pakcik cerita ada satu bangunan di Taiwan dibina siap dengan ladung bertindak sebagai pengimbang. Bila angin kencang bertolak ke kiri misalnya, ladung akan bergerak ke kanan untuk seimbangkan kedudukan bangunan. Macam tu jugak bumi. Dalam bumi ada banyak cairan sama ada di bahagian mantel, kerak bumi ataupun teras. Cecair ini umpama 'ladung' tadi bagi bumi. Allah cipta tiap makhluq tanpa ada sebarang kelalaian. Tiap satu tercipta dengan mekanisma dan sistem yang lengkap. Aku kurang arif tentang teknologi dalam cerita pakcik tadi tapi aku yakin yang Allah memang amat teliti dalam penciptaanNya.

Lepas tu pakcik sambung cerita lagi. Kali ni pasal hadith Jibril. Kisah ketua segala malaikat yang turun menyamar sebagai manusia lalu berdialog dengan Rasulullah dan disaksikan oleh segolongan sahabat termasuk Saidina Umar al-Faruq. Pakcik kata hadith ini penting dari segi kandungannya dan besar dari segi manfaatnya. Sampai ada yang mengibaratkan peristiwa ini mewakil 1/3 dari ajaran islam seluruhnya. Pakcik minta kami bertenang dan memerhatikan 'ibrah' darinya; iaitu :

1) Kedatangan Jibril dalm rupa yang menarik (pakaian yang putih bersih, rambut hitam dan tiada kesan kotoran(athar safar)- ingin mengajar manusia khususnya penuntut ilmu supaya hadir ke majlis ilmu dalam keadaan kemas, bersih dan menarik.

2) Meletakkan tangannya atas paha Nabi yg mulia dan melagakan lututnya dengan lutut Baginda yang suci- sifat pelajar yang cintakan ilmu. Hadir ke kelas pengajian dan memilih tempat sehampir mungkin dengan guru. Konsentrasi akan lebih tersusun dan hubungan ruhi antara penuntut dan guru akan bertambah erat.

3) Jibril bertanya tentang Hari Qiyamah dan Nabi menjawab yang baginda tidak tahu- Sifat tawadhu' yang wajib dicontohi oleh pemimpin dan para pendakwah. Walaupun mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi masyarakat dan dipandang sebagai orang alim tetapi tetap tidak malu untuk berkata 'maaf, saya tidak tahu jawapan pada persoalan ini'. Juga dapat dicontohi sifat kenal diri dan tidak lupakan asal usul. Baginda mengajar melalui lisannya yang mulia supaya sentiasa mengakui kelebihan orang lain terutamanya para guru yang mengajarkan ilmu. Seolah-olah Baginda ingin berkata ' kalau tuan (jibril) pun tidak tahu, apatah lagi saya manusia biasa ni'.

4) Jibril datang dalam rupa manusia utnuk mengajar ilmu- Rasulullah dan Jibril menggunakan method lakonan dalam menyampaikan isi pengajaran untuk menarik perhatian para pendengar disamping memberi contoh kepada para muallim supaya menggunakan alat bantuan mengajar dan menggunakan method yang pelbagai ketika mengajar untuk memastikan keberkesanan pengajaran.(Nabi juga pernah melukis di pasir ketika ingin memberitahu para sahabatnya tentang hidup dunia dan kematian).

Banyak lagi ibrah dalam hadith ni kata pakcik. Kalau makin gali pasti kita akan jumpa sinar mutiaranya. Pakcik terus bicara. Kali ini tentang perjuangan datuk kita Hassan pembina. Pakcik cerita satu hari ada pemberita datang bertanya datuk tentang siapa diri datuk sebenarnya. Datuk jawab dia manusia yang tahu asal usul. Datang dari mana dan hendak ke mana. Datuk kata dia ialah ruh baru yang mengalir dalam jasad ummah. Seraya datuk bertanya pada pemberita' kini aku sudah beritahu siapa aku, maka siapa pula engkau sekarang?

Aku puas dengar cerita pakcik. Pakcik berhenti dari kata. Masing-masing merenung jauh. Tenggelam dalam fikiran tersendiri. Aku?

Aku rindu pada datuk hassan.. aku rindu pada Nabi.. rindu pada Jibril..rindu pada Yang berkata-kata dengan surah an- Naba. Rindukah mereka pada aku?........