Saturday, December 26, 2009

Masih belum terlambat

Esok 10 Muharram..jom puasa sunat. Siapa yang terlepas puasa 9 Muharram masih belum terlambat.

Friday, December 25, 2009

Peluang Hapuskan Dosa

Esok 9 Muharram, jom puasa!

Tuesday, December 8, 2009

Sunnah dan Tarbiyah

Seperti biasa ,tiap pagi Selasa aku berpeluang berlama-lama depan komputer kerana kelas aku hanya akan bermula pada pukul 10 pagi sebelum berlanjutan hingga ke maghrib. Bila aku buka ym dengan harapan yang nama 'marhamah jailani' akan menyala (rindu bangat sih! nak call dah takde duit nak topup) tiba-tiba seorang rakan menegur, suruh baca latest entry dari satu blog terkenal. Menarik katanya. Aku baca entry tersebut. Memang ideanya menarik. Secara umumnya aku bersetuju dengan penulis. Namun ada beberapa kenyataan dala tulisannya yang tidak berapa menyenangkan hati aku. D sini aku perturunkan keratan tulisan tersebut:

Tetapi sebahagian daripada amalan yang wujud di dalam masyarakat, tidak semestinya Bid’ah hanya kerana ia tidak menepati satu teks Hadith. Daripada manakah asalnya perbuatan melafazkan niat sebelum mengangkat Takbir Solat? Mengapakah adanya bacaan wirid secara berjamaah selepas Solat? Apakah asal usulnya bacaan Tahlil di dalam majlis keraian masyarakat? Daripada manakah susur galur terjadinya bacaan Talqin selepas pengebumian jenazah? Bagaimanakah pula dengan menjadikan al-Fatihah sebagai doa umum yang dibaca di kebanyakan tempat dan sempena?

Sebahagiannya, berasal usul daripada proses mendidik dan memudahkan golongan bermasalah untuk melaksanakan ibadah. Melafazkan niat sebagai bantuan kepada golongan musykil seperti masalah was-was, menggunakan al-Fatihah sebagai doa umum pada keterbatasan kemampuan masyarakat menghafal pelbagai doa, wirid berjemaah selepas Solat sebagai satu proses Tarbiyah… kesemua itu memerlukan pendukung Tajdid untuk lebih teliti pada usaha memurnikan amalan masyarakat.



Sebenarnya aku memang malas nak mengulas isu bidaah, wahabi dan sebagainya. Malas kerana letih. Letih dengan isu yang makin dibincang makin serabut. tapi memandangkan aku dah pun terbaca tulisan ni dan tulisan ini pula datang dari bukan calang-calang orang, maka aku rasa bertanggungjawab untuk memberi kritikan. Sekurang-kurangnya aku perlu menerangkan pendirian aku pada yang mahu mengetahuinya.

Dalam tulisan tersebut penulis mahu menegur sifat kebanyakkan orang yang suka mengitlakkan ( generalize) sesuatu perkara terhadap sesuatu pihak dan beberapa contoh pun telah diutarakan. Aku bersetuju 100 peratus. Cuma bila menyetuh soal bidah dan hubungkaitnya dengan tarbiyah aku jadi sedikit mahu mengulas;


1) Sebahagiannya, berasal usul daripada proses mendidik dan memudahkan golongan bermasalah untuk melaksanakan ibadah. Melafazkan niat sebagai bantuan kepada golongan musykil seperti masalah was-was- Menurut pendapat aku, yang sebenarnya menjadi sebab kepada was-was ketika hendak memulakan solat ialah melafaz niat itu sendiri. Lafaz niat bukan membantu dan menolong. Buktinya, berapa ramai yang angkat tangan dan melafazkan takbir kemudian terpaksa mengulangi perbuatan ini berkali kali hingga kadang-kadang imam sudah rukuk pun belum sudah lagi dia mengangkat takbir. Bila ditanya kenapa maka jawaban yang famous ialah:" Niat tak masuk lagi' dan seumpanya. Ada juga yang menyangka lafaz takbir perlu disertai dengan sebutan niat ( sahaja aku solat ......) dalam hati. Bila takbir dah habis sedangkan sebutan dalam hati tu tak habis lagi, maka takbir pun diulang -ulang lagi. Tidak dilupakan lafaz niat yang diajar mesti dalam bahasa arab (usolli...) ataupun bahasa melayu ala sanskrit! Maka ubat yang disangka boleh menyembuh penyakit tadi bertukar kepada virus penyakit kedua pula. Was-was satu hal. Kena hafal ayat bahasa arab pula. Yang lebih parah, lafaz dan perbuatan melafazkan niat tadi tu disandarkan kepada Nabi dengan status sunnah! Seolah-olah nabi pernah melakukan perkara yang sedemikian. (Bukankan sunnah itu ialah ucapan, perbuatan dan persetujuan dari baginda?) Maka timbul pula masalah ketiga- berbohong atas nama nabi. Adalah jauh lebih baik sekiranya didikan kepada orang was was ini berupa pengajaran terhadap hakikat sebenar niat dalam hidup insan dan bagaimana solat yang didirikan nabi, bukan makin menambah beban dan celaru dalam hatinya.


2) menggunakan al-Fatihah sebagai doa umum pada keterbatasan kemampuan masyarakat menghafal pelbagai doa- Satu lagi perkara yang aku anggap bukanlah proses tarbiyah yang baik bahkan boleh menimbulkan masalah lain yang lebih parah. Didikan yang akan menanamkan kefahaman doa itu satu ayat yang perlu dihafal (aku maksudkan doa yang bukan mathur dari nabi) bukan lagi satu perbuatan meluahkan perasaan, merengek dan meminta pada yang Maha mendengar, melihat, mengetahui, kaya, dan mengasihani. Kita boleh lihat jemaah haji yang sanggup bersusah payah membaca buku doa yang dikalungkan di leher dalam kepadatan manusia ketika bertawaf dan mendedahkan diri pada risiko rempuhan dan dipijak dengan tidak melihat jalan di hadapan kerana sedang khusyu' membaca buku. Ada juga selepas solat lebih memilih mengaminkan doa yang dibaca oleh imam tanpa difahami maknanya berbanding dia berdoa untuk kebaikan dirinya dalam bahasa yang dia faham dan dapat hayati. Alasannya " aku tak hafal doa panjang- panjang macam imam. Baik aku aminkan jer". Pada hemat aku, didikan yang lebih utama untuk disampaikan ialah membetulkan persepsi terhadap doa yang sebenar (Permintaan yang tulus, bukan skrip yang dihafal). Perbuatan mencadangkan doa itu dan doa ini (yang bukan warid dari hadith baginda) kepada mereka yang tidak mahir berbahasa arab akan menimbulkan salah tanggap yang berpanjangan terhadap doa di samping seolah-olah mengiyakan pemahaman 'doa dalam bahasa arab lebih afdal'.



3) wirid berjemaah selepas Solat sebagai satu proses Tarbiyah- Aku tak nafikan sememangnya wirid selepas solat secara berjemaah boleh menjadi satu cara mengajar orang-orang yang belum berkemampuan untuk berwirid dengan wirid baginda atas sebab kejahilannnya seperti yang telah disebut panjang lebar oleh Imam Syafie r.a dalam al-Umm. Cuma yang aku lihat, atas alasan ini, sunnah yang sebenar telah dipandang sepi, bahkan sangat sepi! Hingga orang yang menurut tuntutan sunnah yang sebenar dianggap malas dan salah! Perkara ini juga meleret leret hingga ke tempat orang menghafaz quran pun perlu dijemaahkan juga wiridnya. Seolah-olah yang telah hafal quran 30 juzu' tu nak baca ayat kursi pun tak mampu. Yang lebih memilukan, perbuatan ini terus menerus disandarkan pada nabi seolah-olah nabi memang melazimi perkara ini setiap kali selepas solat seperti amalan kebanyakkan kita. Usaha mendidik manusia dengan jemaahkan wirid seharusnya berlangsung serentak dengan usaha memberitahu tentang sunnah yang sebenar tapi yang berlaku hari ni, sunnah nabi yang sebenar hampir tidak dikenali langsung dan kalau ada orang yang cuba berusaha untuknya, orang itu pasti dikecam hebat dengan pelbagai label.



Ini adalah cerminan pemikiran sebahagian aktivis dakwah yang aku kurang menyetujuinya. Tak kurang juga yang berani menghalalkan bidaah, meredhainya untuk terus berlaku dengan alasan' maslahat dakwah lebih utama sheikh. Kita kena pilih mudharat yang lebih ringan!" Kurangnya usaha untuk bawa masyarakat kepada sunnah sebenar tapi lebih cenderung untuk mengiyakan perbuatan salah mereka dengan kata-kata yang menyedapkan hati demi meraih kepentingan-kepentingan tertentu sangat membimbangkan aku. Dakwah sememangnya perlu dilakukan dengan hikmah namun hikmah bukan bermaksud kita boleh katakan betul pada yang salah. Menunjukkan contoh dengan komitednya kita pada sunnah jauh lebih berhikmah daripada bermujamalah. Cakaplah dengan lembut tentang pendirian kita dan biarkan mereka membuat pilihan. Insyaallah, inilah ubat yang mujarab.Andai masih ditohmah selapas bercakap lembut dan bermuka manis, bersabarlah. Itu memang sunnah dakwah.


Lastly, aku ingin tutup entry ni dengan kata-kata seorang ulama yang aku kagumi " andai ada masalah antara sikap manusia dengan sunnah nabi, maka kita perlu usaha untuk baiki sikap masyarakat itu supaya sesuai dengan sunnah nabi, bukan kita cuba baiki sunnah nabi yang dah ada untuk sesuaikan dengan sikap masyarakat"

Thursday, December 3, 2009

Penyakit

Antara masalah peribadi aku ialah aku akan dapat membendung rasa rindu pada isteri dan anak aku andai aku tak berbual dengan dengan mereka( Rindu tetap rindu, tapi masih dapat control) sampai la bila dah start berbual mesra pastu perbualan tu pun berakhir,nah..bermula lah episod ngeri dalam hati aku sekali lagi. Rasa rindu yang amat menyakitkan akan datang menyerang bertubi tubi tanpa kesian.

Semalam, aku berbual lama dengan dia. sangat seronok. dan sekarang penyakit rindu-takde ampun punya- mula aktif menyerang sehingga sukar untuk lelapkan mata..haihh..


tapi mustahil untuk aku berhenti berbual dengan dia meskipun aku tahu rindu lepas tu sakit..aku tak peduli..sakit pun sakit la!

Monday, November 30, 2009

Haji dan ceritanya

Hari ini merupakan hari ke-14 dalam bulan Zulhijjah 1431. Bermulanya hari ni sejak maghrib semalam menandakan berakhirnya musim haji untuk tahun ini. Segala pujian diangkat ke langit buat Allah yang maha menyayangi hamba-hambanya-Nya. Sehina-hina makhluk seperti aku ini pun masih lagi diberi kesempatan untuk menjadi tetamu dalam 'pesta ibadah' kali ini. Moga peluang semacam ini diberi lagi pada tahun hadapan andai ruh masih lagi bersatu dengan jasad.

Tidak banyak yang aku mahu catatkan dalam entry kali ini. Bagi yang mahu menikmati gambar sekitar 'haji1431' boleh berkunjung ke laman http://www.na5wa.com. Moga rindu dan cinta pada tanah haram akan bertambah melalui tatapan pada gambar-gambar tersebut. Cerita haji? Aku kira tak banyak bezanya dengan tahun lepas dari segi aliran pergerakkan. Berjalan kaki untuk jarak yang 'tak jauh langsung' sekali lagi menjadi plot utama cerita haji. Sejuk yang menggigit kala bermabit di Mina, lecet dan luka di situ dan sini terus menjadi bahan jenaka dan gurauan sesama rakan di penghujung tiap malam ( Aku sendiri ditertawa bila gaya jalan berubah bagaikan perempuan sarat mengandung dek sakit yang mula menyapa di bahagian kaki dan betis- Moga sakit ni bisa berperanan sebagai kafarah dosa demi mengelak sakit yang jauh lebih pedih satu hari kelak). Tak dilupakan juga suasana sesak sekitar manasik haji yang seringkali menggugah keinginan untuk keluar rumah biarpun sekadar mahu mencari nasi untuk santapan di tengahari terus mewarnai hari hari Zulhijjah 1431. Aku tidak berminat untuk bercerita panjang mengenai perkara itu lagi. Aku yakin, cerita yang sama pasti berulang tahun hadapan. Aku hanya ingin menulis tentang satu dua perkara yang aku kira penting untuk aku dan boleh diambil manfaat oleh orang yang membaca tulisan ini.

Pertama, aku tertarik dengan tulisan Dr. Asri, bekas Mufti Perlis yang berbicara soal hakikat pengorbanan yang begitu sinonim dengan Eidul-Adha. (Bagi yang mahu sila baca tulisan beliau di laman webnya di bawah tajuk " Pengorbanan bukan sekadar cerita' dan jangan risau.. anda tidak akan jadi wahabi dengan membacanya!). Tulisan yang baik untuk dijadikan renungan kepada para daie ataupun kepada para pengutip korban yang begitu aktif bergerak dalam menyampaikan 'fadhilat korban' kepada para pendengar terutamanya jemaah haji. Pesan ku pada diriku, tak salah mencari rezeki, cuma biarlah dunia tu diletak di tangga kedua selepas tanggugjawab ukhrawi. Ikhlaskan lah hati ketika berkempen dan mohon la pertolongan dari Allah agar tak terkalah oleh nafsu dan syaitan.

Kedua, juga berkaitan dengan tulisan web seorang ulama muda iatu Ust Zaharuddin Abd Rahman. Beliau berbicara solat ikhlas juga tapi dalam skop yang lebih luas. Skop dakwah. Betapa ramainya orang tertipu dengan 'rasa ikhlas dalam hati' yang padahal itu bukan ikhlas tapi 'perasan ikhlas'. (Baca lah sendiri di laman webnya di bawah tajuk "Sesungguhnya ia lebih& amat sukar. Aku syorkan dan aku harapkan pahala dari pembacaan kalian) Aku ingin sekali lagi memberi pesan pada diriku, jangan mudah terpesona dengan pujian manusia dan jangan mudah merasa cukup bila mampu menjawab soalan-soalan yang diajukan. Ingatlah kejahilan dan hakikat kekotoran diri sendiri dan sentiasalah mujahadah untuk ikhlas belajar dan mengajar. Jangan nanti menyesal melihat amalan di sisi Allah hanya umpana debu yang berterbangan. Tak mampu menjadi penyelamat dari api neraka apatah lagi untuk menjadi sebab masuk syurga Allah.


Moga haji kali ini diterima...

Friday, November 20, 2009

Buat bidadari yang lembut hatinya

Buat bidadari yang lembut hatinya,
Aku tahu kalam ini akan kau baca kerana sudah jadi kebiasaanmu mengikuti perkembanganku dalam setiap sudut dan ruang. Bukan aku sengaja mahu biar kamu tertunggu. Tapi cuma ruang dan masa sahaja yang begitu cemburu.

Buat bidadari yang lembut hatinya,
Kita sama-sama tahu yang aku tidak pernah bermain dengan waktu. Tibanya musim haji buatku terburu-buru. Antara tugasan sebagai suami, daie dan penuntut ilmu. Kau tahu aku rindu. Kau mengerti jiwa dan hatiku. Namun apa dayaku..masa tak pernah lebih dari yang ditentu.

Buat bidadari yang lembut hatinya,
Aku cuba kotakan janji. Pada Allah, ibu dan isteri. Akan thabat dalam jalan ini. Akan sabar dalam masa dan hari. Akan jujur mencari rezeki. Kau isteriku yang berdikari. Bantulah aku untuk berdiri. Terus berdiri. Terus berdiri. Dalam safar meredah lautan ilmi, aku perlu bantuanmu wahai bidadari.

Buat bidadari yang lembut hatinya,
Aku faham rajuk dan tangismu. Sabarlah dan pohon bantuan dari Tuhanmu. Aku di sini tak pernah melupaimu. Moga ada manfaat kelak ku bawa pulang bila kita bertemu. Maafkan suamimu. Maafkanlah.. dan izinkanku bernaung dalam lembut hatimu.

Ikhlas

Dhuha hari ini
santapanku fathul bari
hikayat permulaan wahyu
namun dimulai dengan bicara niat
kalam sheikh mutiara salju
dingin menjentik kalbu
damai selimut jiwa
iklhas dan wahyu
bagai isi dengan kuku
bagai laut dengan bayu
ikhlas asas syariat
syariat adalah wahyu
kalau bukan kerana ikhlas
pasti terhenti bingkisan wahyu

Sunday, October 18, 2009

Antara Wahabi dan Liberalist

Tarikh: satu hari sekitar tahun 2006-2007
Tempat: Bilik Ust XXX, Darul Quran, Kuala Kubu Bharu


Ustaz : Ana dapat laporan enta cuba lakukan perpecahan di DQ

Aku : Ana buat apa ustaz?

Ustaz : Betul enta tak berwirid dan berdoa lepas solat zuhur semalam di masjid? Enta jadi imam kan?

Aku : Memang ana jadi imam solat zuhur semalam. Ana berwirid dan berdoa cuma tak dalam bentuk jemaah jer

Ustaz : Enta sedar tak perbuatan enta akan menimbulkan huru hara dan perpecahan di kalangan pelajar DQ? Kenapa yer bila naik sem 5 sem 6 jer terus nak jadi wahabi?

Aku : Maaf ustaz, tapi ana tak nampak pun apa-apa perpecahan yang berlaku. Kalau kira nisbah, 10 kali ana jadi imam, sekali jer ana buat camni, 9 kali yang lain ana buat jer majlis bacaan doa selepas solat. Niat ana hanyalah ingin membuka pemikiran pelajar pelajar agama di sini supaya mencari dan mendalami lagi ajaran agama kita melepasi sempadan mazhab dan adat tradisi. Lagi pula, Imam Syafie dalam al-Umm pun pernah cakap yang imam boleh mengeraskan suara untuk wirid selepas solat dengan tujuan mengajar ma'mum yang mungkin tak mampu lagi untuk berwirid sendirian. Tapi bila imam dah yakin ma'mum dah mampu buat sendiri maka adalah lebih baik untuk kembali berwirid secara perlahan dan sendirian. Ana rasa pelajar-pelajar DQ yang hafaz al-Quran ni mampu untuk berwirid sendiri dah. Takkan Ayat Kursi pun tak leh baca.


Perbincangan terus berlanjutan dengan istilah istilah seperti ' Wahabi', 'Kaum Muda', 'tak hormat ulama' kedengaran memenuhi ruang bilik ustaz. Aku diam dan hanya mampu memohon pertolongan Allah dalam hati slow-slow..bukan senang nak pegang sunnah...patut la Baginda s.a.w. suruh 'gigit dengan geraham' sunnah ni..



##########################################################


Tarikh : 18 Oktober 2009
Tempat : Kafeteria Jamiah Ummul Qura, Aziziyah

Aku : So brother, since you are newly-wed, where did u go for your honeymoon?

Imran : Nowhere. In Islam, we dont have such thing

Aku : What? Are u serious?

Imran : Where did our Prophet (pbuh) bring Aishah r.a for honeymoon? Nowhere right?

Aku : That doesn't mean that that thing is prohibited.

Imran : Yeah, I know, but Prophet said man tashabbaha bi qaumin fahuwa minhum (siapa yang menyerupai satu kaum tu maka dia dari golongan kaum tu)

Aku : I understand that hadith in different way. If I see a buddhist guy drive a chevy, does it mean that we are now prohibited from driving chevy?

Imran : I didnt say that honeymoon is haram. I just say that the Prophet didnt do that

Aku : Yeah i know, but when you say that in Islam there is no thing called honeymoon, i am little bit uncomfortable. Honeymoon is in 'muamalat' sect not the ibadah sect, so the usual for this case is' al-aslu fi syai' al- ibahah hatta yadulla ad dalil ala tahrimihi (Hukum asal bagi sesuatu perkara yang bukan ibadah itu ialah harus sehingga ada dalil larangan terhadap perkara tersebut)

Imran : Oh please, dont be like egyptian. They always say this thing

Aku : No. I just speak up my opinion as a syariah student (Aku dah gelak-gelak waktu ni)

Imran : I afraid that Malaysia will turn you into a liberalist


##########################################################


Aku pulang ke rumah sambil ketawa kecil sendirian. Perbualan dengan kawan aku dari Guyana sebentar tadi betul2 mencuit memori silam. Kalau dulu, sebelum aku bergelar 'student Makkah', aku telah dilabel dengan pelbagai jenama 'wahabi', 'biadap dengan ulama', baru tahu hadith sepatah dua dah nak tunjuk perangai' dan sebagainya. Lain pulak sekarang. Aku dah hampir 3 tahun belajar di sini dan sekarang orang kat sini pulak kata aku ni 'liberalist', 'tak ikut sunnah' dan sebagainya..huhu, terbalik kan?

Kali ni aku bukan nak tulis pasal wahabi, kaifiyat wirid selepas solat beserta dalil ataupun yang sama waktu dengannya. Aku cuma ingin catatkan pengalaman ini untuk tatapan anak cucu ku nanti. Jangan risau dan berdukacita dengan jenama yang diberi walaupun mungkin jenama itu menguris hati untuk seketika. Betulkan sikap dengan al-Quran dan Sunnah, jujur dengan syariat Islam, jalan di hadapan pasti terbentang luas..seluas hatiku kini... :)

Monday, October 12, 2009

Buat Ilham, anak abi yang abi sayang..

Ilham sayang,

Beberapa hari lepas ummi ada hubungi abi di sini, ketika abi sedang kalut menguruskan jadual pengajian abi untuk sem yang baru. Ummi bertanya pada abi satu soalan yang agak aneh. Abi anggap perkara tersebut aneh lantaran abi terasa perkara tersebut terlalu mendasar dan tersangat asas. Perbincangan mengenainya juga belum pernah abi ikuti di mana-mana ruang walaupun sekali sepanjang hidup abi ini ,menambahkan lagi rasa aneh tersebut di benak hati.

Ummi bertanya pada abi adakah benar seseorang anak itu tidak lagi wajib mentaati ayah dan ibunya setelah mencapai usia baligh dan hanya berkewajipan untuk berlaku baik (birrul walidain) sahaja pada kedua-duanya. Setelah berbual lebih lanjut abi dapat tahu yang soalan ini timbul kerana ummi terbaca entry dalam sebuah blog yang berpengaruh. Pemilik blog tersebut menyatakan setelah usia anak mencapai tahap baligh, dia tidak lagi wajib untuk taat pada orang tuanya namun hanya sekadar berlaku baik sudah memadai. Maka sesorang anak tidak perlu mentaati ibu bapanya dalam soal pemilihan kerja, pemilihan jodoh apa lagi soal pemilihan jemaah islam yang mahu disertai. Katanya, tidak ada kaedah di dunia yang mengatakan kalau ayah tabligh maka anak perlu jadi tabligh, kalau ayah hizbu tahrir maka anak perlu jadi hizbu tahrir.

Abi cakap pada ummi, abi boleh setuju dengan kenyataan tu. Memang tidak wajar seorang ayah memaksa anak mengikut jemaah yang ayahnya mahukan. Tapi kalaulah itu yang menjadi sebab untuk menafikan kewajipan untuk mentaati ibu bapa, abi berpendapat bahawa dakwaan itu terlalu dangkal, tidak kukuh dan lebih utama tiada dalil dari nas yang dikemukan oleh penulis. Perkara ini tak lebih seperti marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Ilham anak abi sayang,

Abi telah merujuk beberapa kitab tafsir seperti Tafsir al-Quran al- Azim tinggalan Ibn Kathir r.a, Tafsir Munir karya Dr. Wahbah Zuhaily hafizahullah, juga abi sempat lihat kitab pengetahuan Islam Fi Zilal al-Quran karangan Syed Qutb r.a. dan abi tidak dapati seorang pun daripada mereka yang menyatakan kewajipan taat pada ibu bapa terhenti setelah seseorang anak itu mencapai usia baligh. Abi terus membaca beberapa tulisan orang orang berilmu. Abi berjumpa tulisan yang berkisar tentang sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abi Daud,
Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata:

Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (untuk berjihad) lalu baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?” Dia menjawab: “Ibubapa aku.” Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?”
Dia menjawab: “Tidak.” Rasulullah bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua. Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.”
Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – no: 2530 (Kitab Jihad, Bab Berkenaan seorang lelaki yang berperang tetapi tidak disukai oleh ibubapanya).


I

Cuba Ilham baca komentar Imam Shaukani tentang hadith ni :

Dalam hadis (di atas) terdapat petunjuk bahawa berbuat baik kepada ibubapa adalah lebih utama daripada berjihad. Manakala sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah di dalamnya terkandung dalil bahawa wajib (hukumnya) meminta izin ibubapa di dalam urusan berjihad dan yang sedemikian adalah pendapat jumhur ulama’. Dan mereka memutuskan dengan keharaman berjihad jika kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka menegah (anak mereka) daripada berjihad kerana sesungguhnya berbuat baik kepada ibubapa adalah fardhu ‘ain manakala jihad adalah fardhu kifayah. Akan tetapi apabila hukum jihad jatuh fardhu ‘ain maka tidak perlu meminta izin (daripada mereka berdua)

(Nail al-Authar, jld. 4, ms. 687)


Di sini abi nak ajak Ilham sama-sama berfikir tentang beberapa point yang relevan dengan hadith dan isu yang kita bincangkan ni :

1) Rasulullah s. a.w. bersabda : “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua. Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.” Mengapa Rasullulah s.a.w menjadikan syarat untuk dia turut hadir dalam jihad ialah sekiranya diizinkan oleh ibu bapanya dan sekiranya tidak diizinkan, hendaklah dia terus tinggal bersama orang tuanya di Yaman dan berbuat baik kepada mereka. Apalah gunanya meminta izin melainkan untuk ditaati. Dan dalam hal ini juga tiada pilihan yang diberikan oleh kepada Rasulullah s.a.w. kepada lelaki dari Yaman tersebut sama ada untuk taat ataupun tidak pada arahan ibu bapa atau sebaliknya melainkan mesti taat.

2) Sabda Rasulullah s.a.w. "Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.” Bukankah di sini Rasulullah s.a.w membayangkan pada lelaki dari Yaman tersebut andai sekiranya dia tidak diizinkan hendaklah dia mentaati perintah kedua-duanya dan berlaku baik kepada kedua-duanya. Jadi, taat dan patuh kepada ibu bapa merupakan salah satu bentuk 'birrul walidain' yang paling utama di samping bentuk bentuk lain yang masih banyak. Sememangnya antara birrul walidain dan taat itu mempunyai pertalian yang rapat dan kukuh, bukan 2 perkara yang tidak dapat dicampur aduk dan dibezakan syara'.

3) Secara tabienya, orang lelaki yang keluar berjihad pastilah lelaki yang sudah baligh. Andai baligh menjadi garis penamat untuk kewajipan mentaati ibu bapa, nescaya Rasulullah s.a.w. tidak akan membiarkan status lelaki tersebut (sama ada boleh keluar jihad atau tidak) ditentukan oleh ibu bapanya bahkan dia sendiri yang lebih berhak tentukan untuk dirinya.


Ilham buah hati abi,

Persoalan ketaatan kepada ibu bapa sebenarnya jauh lebih besar daripada apa yang disangka oleh sesetengah orang, sehingga penderhakaan kepada mereka merupaka dosa besar yang diancam dengan azab dalam hadith- hadith Nabi kita s. a.w (kita minta lindung daripadanya). Sekiranya perselisihan antara ayah dan anaknya lah yang menjadi punca timbulnya persoalan ni, kita harus selesaikan dengan cara lain, bukan dengan cara begini. Secara fitrahnya, ibu bapa akan melarang sesuatu perkara kerana pada pandangan dia perkara itu akan memudharatkan anaknya. Mereka juga akan menyuruh sesuatu perkara kerana pada pandangan mereka perkara itu baik untuk anak mereka. Andai kata terdapat percanggahan antara anak dan ibu-bapanya dalam menilai sesuatu perkara sama ada baik atau buruk, duduklah bersama bercakaplah dengan lembut dengan mereka. Berdoa pada Allah supaya mereka boleh memahami pilihan kita. Sekiranya mereka telah nampak kebaikan dalam pilihan kita, mereka akan membenarkannya lantaran kasih sayang mereka dan keinginan untuk melihat anak mereka mendapat kebaikan. Namun andai kata mereka tetap dengan keputusan mereka, bersabarlah dan bertawakal, Allah sangat sayang orang yang bertawakal. Teladanilah hadith yang abi sebutkan tadi. Kalaulah dalam soal jihad saja pun Rasulullah s.a.w menyuruh kita mentaati kedua dua orang tua kita, maka dalam soal "nak pilih jemaah mana' pastinya lebih aula utnuk kita mentaati mereka. jangan Ilham sesekali lupa pesanan Rasulullah s.a.w. " Redha Allah terletak pada redha ibu bapa dan murka Allah terletak pada murka ibubapa"(Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa) dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.)

Ilham anak manja abi,

Abi dan ummi telah banyak bersusah payah besarkan Ilham. Kami telah korbankan segalanya yang kami ada untuk Ilham, dan kami tak pernah ragu-ragu untuk terus berkorban untuk Ilham kerana kami sangat bahagia punya Ilham sebagai anak. Ilham jadilah anak yang solehah, yang mentaati Allah dan Rasul-Nya. Yang berbakti kepada ayah dan ibunya serta agamanya. Kami tak mengharapkan apa pun balasan lain melainkan ketaatan dalam setiap perkara yang tidak bercanggah dengan syara' ketika kami masih hidup dan doa yang berterusan setelah kami tiada lagi nanti. Andai abi dan ummi salah, maafkan la kami, dan berlembutlah dengan kami, bagitahu apa salah kami. Kalau Ilham mahu kebaikan sentiasa ada dengan Ilham, percayalah abi dan ummi lebih mahukan perkara itu ..lebih daripada apa yang Ilham rasa dan harap.

Abi ummi sentiasa doakan Allah pelihara Ilham dan Ilham sentiasa berada dalam landasan sunnah. Semoga Ilham akan temui kebahagiaan di dunia dan akhirat selamanya..





Abi yang sangat menyayangimu

Thursday, June 18, 2009

ما لا يتم الواجب إلا به فهوالواجب

Aku mengenali 'usrah' seawal usia 13 tahun. Lebih tepat ketika aku mula mendaftar sebagai pelajar tingkatan peralihan Maahad Muhammadi Lelaki Kota Bharu, Kelantan. Bermula detik itu, usrah la menjadi medan utama aku menimba pelbagai ilmu yang tak mungkin aku temui dalam kelas. Melalui usrah aku diajar cara hidup seorang muslim, kewajipan berdakwah kepada manusia dan sebagainya. Usrah juga memperkenalkan aku kepada tokoh-tokoh gerakan Islam seluruh dunia. Sebagai seorang yang datang dari keluarga yang 'biasa-biasa' sahaja..aku sangat bersyukur kerana dipilih Allah untuk memperoleh ilmu-ilmu sebegini berbanding rakan-rakan yang lain yang sudah pun berkenalan dengan 'tarbiah dan dakwah' sejak dalam kandungan lagi dek kerana ayah dan ibu mereka merupakan orang yang telah pun terlibat secara langsung dalam dunia gerakan Islam.

Semakin usia ku meningkat aku makin dekat dengan bahan tarbiah usrah. Bermula dari persoalan-persoalan asas sebagai muslim hinggalah kepada perbincangan tentang daulah. Menurut usrah yang aku ikuti, daulah merupakan sesuatu yang wajib ditegakkan oleh muslim kerana dengan daulah lah dapat dilaksana hukum syariah. Maka dengan maksud itu, menyertai jemaah@gerakan islam (seperti PAS, ABIM,JIM,ISMA, dll) hukumnya ialah wajib kerana melalui jemaah lah daulah akan terhasil. Hubungan antara penyertaan dalam gerakan Islam dengan penghasilan sebuah daulah Islamiah diumpamakan sebagai hubungan antara wudhu dengan solat. Berwudhu menjadi wajib ketika ingin mendirikan solat kerana solat itu tidak akan terhasil (baca:sah) melainkan adanya wudhu. Ini berdasarkan prinsip asas dalam feqah iaitu 'ما لا يتم الواجب إلا به فهو الواجبٍ

Sekarang, aku merupakan pelajar tahun satu Jabatan Undang-Undang Kuliah Syariah Universiti Ummul Qura, Makkah al Mukarramah. Antara subjek muqarrar sem kali ni ialah Usul fiqh lil Qadha'. Kitab Nihayatul Sul karangan Imam Asnawi rahimahullah menjadi santapan utama untuk subjek ni. Satu hari, kami belajar tentang sesuatu perkara yang mengucar kacirkan semula pendirian kau selama ni. Tajuk muhadarah hari tu ialah 'ما لا يتم الواجب إلا به فهوالواجب '. Secara ringkas kaedah ini membawa erti sesuatu perkara yang menjadi perkara yang menjadi syarat untuk sahnya/berhasilnya sesuatu perkara wajib di sisi syara itu hukumnya wajib. Di dalam perincian, perkara yang menjadi menjadi syarat wajib untuk sahnya/berhasilnya sesuatu perkara wajib di sisi syara' ini terdiri daripada beberapa komponen iaitu :

1) Sebab- السبب

1. Perkara yang sekiranya dia ada, maka perkara wajib itu akan ada
2. Perkara yang sekiranya dia tiada maka perkara wajib itu tidak akan ada
3. Perkara yang menjadi sebab itu bukanlah sebahagian daripada perkara wajib itu
4. Contoh- Tergelincirnya Matahari merupakan sebab kepada wajibnya solat Zuhur. Sekiranya Matahari tak tergelincir maka tidak wajib untuk solat Zuhur. Tergelincirnya matahari itu pula bukanlah sebahagian daripada solat tapi merupakan sebab untuk diiktirafnya solat itu

2) Syarat- الشرط

1. Perkara yang sekiranya dia tiada, maka perkara wajib itu pun tiada
2. Perkara yang sekiranya dia ada, tidak semestinya perkara wajib itu akan ada
3. Perkara yang sekiranya dia ada, tidak semestinya perkara wajib itu tiada
4. Perkara yang menjadi syarat itu bukanlah sebahagian daripada perkara wajib itu.
5. Contoh- Wudhu merupakan syarat kepada wujudnya sesebuah solat itu (solat yang tidak sah dianggap syara' sepeti tiada/tidak dikerjakan ). Sekiranya wudhu tiada, solat tidak akan ada. Sekiranya wudhu ada tidak semestinya solat itu akan dikira ada juga (misalnya orang berwudhu tapi untuk memegang mashaf al-Quran). Sekiranya wudhu ada, solat jugak tidak semesti tiada kerana mungkin juga orang itu berwudhu untuk solat, dan wudhu itu bukan la sebahagian dari solat tetapi menjadi syarat untuk diiktiraf solat itu.

Ada 2 lagi komponen iaitu rukun- الركن dan Illah- العلة tapi aku kira yang dua ini tidak ada kaitan dengan tajuk kali ini

Imam Asnawi juga menyatakan bahawa perkara yang menjadi komponen kepada terhasilnya perkara wajib ini (disebut muqaddimah wajibat) juga boleh dibahagi kepada beberapa sifat, antaranya :

- Perkara yang menjadi komponen ini mestilah bersifat ''mesti ada'(aku tambah : kalau tiada, tak boleh) untuk wujudnya perkara wajib itu. Contohnya : Tergelincirnya matahari (sebab) dan berwudhu( syarat) merupakan perkara yang kalau tiada 2 benda ni takkan dikira solat itu. Sesiapa yang solat Zuhur sebelum tergelincir matahari tidak dikira solatnya sebab tiada sebab dan sesiapa yang solat zuhur selepas tergelincir matahari tetapi takde wudhu tetap tak sah sebab tiada syarat.

Rentetan dari pengajian ini aku mula berfikir akan ketepatan kaedah ini untuk dijadikan hujah mewajibkan sesorang itu menyertai jemaah yang ada hari ini. Dalam hal ini membentuk daulah dikira sebagai wajib (perkara ini juga kita akan bincang tetapi di waktu lain). Maka tinggallah persoalan menyertai jemaah yang dikatakan sebagai komponen kepada wujudnya perkara wajib itu. Adakah dia sebab atau syarat? Sekiranya ingin katakan ia sebagai sebab maka aku rasakan ianya kurang tepat kerana salah satu ciri sebab ialah 'Perkara yang sekiranya dia tiada maka perkara wajib itu tidak akan ada'. Hakikatnya, ketika masih belum wujud lagi jemaah jemaah seperti yang kita kenal sekarang di dunia, daulah dan khilafah islamiah telah lama terbentuk iaitu sejak dari zaman rasulullah sehinggalah zaman khilafah uthmaniah turki dan kewajipan melaksanakan undang-undang allah di muka bumi ini sudah lama termaktub dalam syariat sebelum era penubuhan jemaah jemaah ini pun. Maka dengan itu tertolak lah menyertai jemaah sebagai sebab kepada wujudnya daulah. Begitulah juga halnya dengan syarat. Syarat juga bererti 'Perkara yang sekiranya dia tiada, maka perkara wajib itu pun tiada'. Hakikatnya daulah islamiah telah lama wujud sebelum sistem gerakan islam yang ada pada hari ini diperkenalkan.

Tambah lagi, sifat yang perlu ada untuk menjadi 'muqaddimat wajibat' ialah 'Perkara yang menjadi komponen ini mestilah bersifat 'mesti ada' untuk wujudnya perkara wajib itu. Dalam erti
kata lain, tidak ada pilihan lain untuk menggantikannya. Misalnya wudhu merupakan syarat untuk solat. Tiada pilihan (tayamum hanya dibenarkan bila tiadanya kemampuan menggunakan air. Tayamum bukan satu pilihan). Soalnya, adakah melalui jemaah- jemaah ini sahaja daulah baru boleh terbentuk dan tidak ada pilihan lain selain jalan ini? Bukankah penubuhan jemaah- jemaah ini merupakan ijtihad daripada para pengasas sebagai jalan untuk mengembalikan daulah semula yang telah lenyap dan bukannya perkara qatie yang telah diputuskan oleh syara seperti wudhu tadi. Bagaimana mungkin untuk dikiaskan sesuatu perkara qatie, yang tiada pilihan lain selain dia dengan perkara ijtihad yang terdedah kepada silap dan betul.

Aku menulis perkara ini bukan bermaksud aku ingin memperlekehkan usaha dakwah dan tarbiah yang dilakukan oleh ahli ahli jemaah yang ada. Aku cuma terkesan dengan beberapa insiden yang berlaku di hadapan mataku sendiri yang menyaksikan orang orang yang telah menggabungkan diri dalam jemaah tertentu 'memandang sebelah mata' kepada orang yang tidak terlibat dalam gerakan seperti mereka. Pada tanggapan mereka, mereka ini golongan yang tidak melaksanakan kewajipan dalam Islam, tidak bekerja untuk Islam dan tidak berjihad sekalipun orang tersebut merupakan seorang alim yang mengajar ratusan ummat, seorang ayah yang telah berjaya mendidik anak-anaknya mentaati Allah dan Rasul. Dia tetap dianggap tidak bekerja untuk Islam 'kerana tidak ada jemaah'!

Ya, aku boleh bersetuju berjuang tegakkan Islam ialah kewajiban setiap individu. Aku juga bersetuju berusaha membina daulah satu tuntutan untuk memastikan undang-undang Allah dapat dijalankan. Tetapi cara untuk mendapatkan daulah itu luas dan pelbagai. Mengikut ijtihad dan kemampuan masing-masing dan menyertai jemaah bukanlah satu-satunya cara untuk bekerja untuk Islam ataupun berjuang mendapatkan daulah. Sekiranya kita mengatakan hukum berjemaah itu wajib sepertimana wajibnya wudhu maka di sini akan timbul beberapa kesan ;

1. Hanya dengan menyertai jemaah sahaja daulah boleh terbentuk dan tidak dengan cara lain.
2. Sekiranya jemaah jemaah telah wujud maka perjuangan-perjuangan membina daulah melalui jalan lain dikira tidak sah dan tidak diiktiraf syara' (sepertimana tidak sahnya tayammum ketika sudah ada kemampuan untuk menggunakan air)
3. Orang -orang alim, ulama ulama yang mengajar dan mendidik manusia tetapi mereka tidak terlibat dalam mana-mana jemaah akan dikira tetap berdosa kerana tidak menyertai jemaah dan tidak bekerja untuk Islam. Ini kerana apabila wudhu merupakan fardhu ain untuk tiap musolli (orang yang ingin solat) sekiranya ditinggal orang itu berdosa dan dia tidak kira menunaikan solat.

Kesimpulannya, marilah kita sama -sama bekerja untuk Islam dan menyumbang kepada keagungan Islam mengikut cara yang bersesuaian dengan diri kita tanpa sedikit pun merasa cara-cara lain yang dipilih merupakan cara yang tidak diiktiraf syara', yang tidak mendatangkan hasil dan tidak melepaskan si pelakunya dari dosa. Walaupun seorang ayah tidak berintima dengan mana-mana jemaah tetapi dia menunaikan tanggungjawab mendidik anaknya mengenal dan mentaati Allah dan Rasulnya sebenarnya dia telah pun menunaikan tanggungjawab dakwahnya dan juga telahpun bekerja untuk Islam. Dia tidak sepatutnya dituduh tidak menunaikan tanggungjawab sebagai orang Islam. Dia pasti akan diganjari setimpal dengan amalnya walaupun mungkin pahalanya tidaklah sebanyak pahala aktivis yang turun ke medan masyarakat yang lebih luas namun untuk mengatakan dia tidak tunaikan kerja untuk Islam, aku fikir payah untuk aku bersetuju. Sesungguhnya jalan dakwah dan jihad itu luas. Maka pilihlah semahu diri tanpa menafikan pilihan orang!

Thursday, June 11, 2009

...tidak akan menyamai satu mud pun.....

SHAH ALAM: Pada hari terakhir Muktamar, saya telah ke depan, menyokong usul yang dibawa oleh PAS Tambun berhubung pembentukan Suruhnjaya Di Raja untuk mengkaji ‘rampasan kuasa’ di Perak. Dalam penghujahan saya pada hari itu, saya telah menyebut peristiwa perang Siffin dan bagaimana ianya mempunyai kaitan dengan keadaan politik kita pada ketika ini. Oleh kerana masalah masa yang diberikan amat singkat, saya tidak sempat untuk menjelaskan persoalan ini dengan lebih terperinci. Saya akan cuba lakukannya di sini.

Untuk mereka yang tidak tahu mengenai peristiwa Perang Siffin, ianya merupakan peperangan di antara tentera Saidina Ali (KW) dan Muawiyyah. Ianya berlaku pada penghujung pemerintahan Saidina Ali.

Dalam peringkat-peringkat awal peperangan ini, tentera Saidina Ali memang jelas menguasai pertempuran. Mereka mengasak kedudukan Muawiyyah hingga kelihatan seolah-olah mereka akan mencapai kemenangan. Dalam saat-saat yang genting sebegini, Amr Al-As, yang bersama Muawiyyah telah mencadangkan supaya tentera mereka meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran di hujung lembing-lembing mereka sambil melaung, “Inilah yang akan menjadi hakim di antara kita”. Tindakan ini bertujuan untuk meminta pihak Saidina Ali untuk sama-sama menghentikan peperangan dan merujukkan persoalan dan perbalahan yang sedang mereka hadapi kepada Al-Quran. Dalam erti kata lain, biarlah ianya diputuskan secara berbincang berdasarkan Al-Quran dan bukannya peperangan.

Matlamat sebenar tindakan ini dijelaskan oleh Amr Al-As sendiri. Beliau berkata kepada Muawiyyah, “Bila sebahagian dari mereka menolak, pasti akan ada kelompok yang lain yang berkata; ‘Sepatutnya kita menerima’. Maka dengan demikian akan terjadilah perpecahan di kalangan mereka. Dan sekiranya mereka semuanya sepakat untuk menerima saranan kita ini, kita mendapat kesempatan untuk menunda peperangan ini hingga waktu yang tertentu.” Penundaan ini bertujuan untuk melepaskan diri mereka dari keadaan yang begitu tertekan pada ketika itu.

Saidina Ali (KW) yang tidak kurang handalnya dalam soal peperangan serta tipu helah musuh dan juga sebagai seorang yang mengenali Muawiyyah, telah berusaha untuk meyakinkan tenteranya supaya tidak terpedaya dengan helah ini. Namun Ali tidak berjaya. Tenteranya berbalah di antara satu sama lain atas persoalan ini dan akhirnya, untuk mendamaikan mereka kembali, Saidina Ali terpaksa bersetuju.

Dengan itu tercapai hajat Amr Al-As. Tentera Ali tidak lagi mengasak kedudukan mereka, kekalahan pada hari itu dapat dielak dan akhirnya Muawiyyah mencapai kemenangan pada waktu lain selepas peristiwa itu.

Pakatan Rakyat dalam keadaan sekarang, bagaikan tentera Saidina Ali yang sedang mengasak kedudukan tentera Muawiyyah iaitu UMNO/BN. Kita maju selangkah demi selangkah dan jelas dalam BN ketakutan. Tiba-tiba ada yang mencadangkan perpaduan, perdamaian! Pakatan Rakyat, seperti tentera Saidina Ali, mula berbalah sesame kita. PKR dan DAP terpingnga-pingnga dengan sebutan-sebutan ‘perpaduan’. Malah PAS sendiri pun terbahagi dua dalam menghadapi persoalan ini. Kesatuan yang terbentuk selama ini seolah tergugat dan UMNO/BN dengan segeranya menyatakan persetujuan mereka terhadap perdamaian dan persatuan yang dicadang-cadangkan.

Syarikat kroni mereka mengibarkan sepanduk ‘Selamat Bermuktamar’ seperti mana tentera Muawiyyah meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing. Ini dinyatakan sebagai bukti keikhlasan mereka untuk ‘berdamai’ dengan kita. Tetapi seperti yang saya katakan tempohari, “apalah nilai sepanduk-sepanduk ini berbanding mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing”? Walaupun dengan mushaf-mushaf Al-Quran sendiri, sejarah membuktikan penipuan berlaku! Ya, memang, kita tidak sebaik tentera Saidina Ali. Tetapi ingat! Mereka juga jauh lebih buruk dari tentera Muawiyyah!

Seterusnya mereka akan memuji dan melambung pemimpin-pemimpin yang mencadangkan ‘perpaduan’ ini dan menyatakan betapa mereka berterima kasih dengan cadangan tersebut. Mereka bermesra dengan PAS, bermanja dengan pemimpin-pemimpin pro-perpaduan ini dan dengan itu merejamkan lembing perbalahan di antara kita!

Punca perbalahan dan ‘perpecahan’ di kalangan kita adalah kerana cadangan ‘perpaduan’ yang datang tanpa perbahasan dan tiada yang mempersetujuinya kecuali sedikit. Namun yang sedikit yang setuju bercakap bagi yang ramai yang tidak!

Yang agak pelik, dalam senario peperangan Siffin, cadangan perdamaian datangnya dari pihak yang diasak kerana hampir-hampir dikalahkan. Dalam keadaan kita sekarang, perdamaian dicadangkan oleh kita yang sedang mengasak yang hampir-hampir menang! Dengan itu akan terlepaslah peluang untuk mencapai kemenangan yang muktamad!

UMNO/BN akan menggunakan ‘persetujuan’ mereka untuk menimbangkan cadangan PAS sebagai bukti keikhlasan mereka. Penolakan oleh PKR dan DAP yang hampir pasti berlaku akan digunakan sebagai bukti ketidak-ikhlasan mereka berdua. “Mereka tidak mahu orang Islam Melayu bersatu” akan dilaungkan secara nyaring oleh pemimpin-pemimpin yang sedang seronok dilambung pujian dan sanjungan dari semua pihak. Pegawai Kerajaan, Professor Universiti, Pakar perubatan Melayu UMNO dan sebagainya akan disusun satu demi satu untuk memberi sanjungan dan akhirnya apa yang dinginkan akan berlaku, seperti berlakunya apa yang diinginkan oleh Amr Al-As dalam perang Siffin.

Perbalahan akan berlaku di antara kita di dalam PR dan malah di dalam PAS itu sendiri dan akhirnya, pemimpin-pemimpin yang disanjung dan dilambung itu akan menjadikan PAS berseorangan berpakat dengan UMNO. Tidak mungkin PAS menolak apabila cadangan itu datang dari PAS sendiri! Pemimpin pro-perpaduan ini akan berusaha supaya perhubungan kita dalam PR semakin keruh hingga akhirnya PAS diminta keluar kerana dilihat semakin rapat dengan UMNO. Akan kedengaran pada masa itu, “Bukan kami yang nak keluar, kami diminta keluar!” dan “Kalau dengan PKR dan DAP boleh bersama, takkan dengan UMNO tidak boleh”. Mereka akan bertanya kepada ahli-ahli yang masih terpingnga-pingnga dengan keadaan yang baru ini. Hanya semalam menyerang UMNO/BN, hari ini menjadi kawan? Hanya semalam bersama PR, hari ini menjadi lawan?

Adakah ini disebabkan inginkan kemenangan yang segera seperti mi segera atau mi celup? Adakah ianya kerana tidak sedar bahawa kita sebenarnya sudah berada diambang kemenangan? Atau, lagi teruk, adakah ianya disebabkan keengganan mencapai kemenangan melalui Pakatan Rakyat? Ini semua merupakan persoalan yang valid dan wajar difikirkan bersama.

Namun, yang lebih penting untuk kita fikirkan adalah implikasi kepada masa depan PAS itu sendiri. Kita akan kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India yang melihat tindakan kita sebagai khianat dan perjuangan Islam akan dilihat sebagai satu perjuangan oppurtunis yang tidak mempunyai prinsip dan asas yang kukuh. Usaha selama berpuluh tahun akan musnah begitu sahaja dengan sekelip mata.

Namun yang lebih teruk, keadaan kita akan begitu terdedah, bergantung kepada ihsan UMNO. Sekiranya kita dikhianati UMNO, ke mana hendak kita pergi? Sekiranya selepas mencapai matlamat mereka dan berpisahnya kita dari PR dan kekuatan PR tergugat, UMNO mengusir kita seperti dahulu, ke mana hendak kita pergi?

Berseorangan, bagaikan parti politik murahan, ayam tak patuk, itik tak sudu. Ke PR pun tidak dan ke BN pun tidak. 3 penjuru? Yang akan menang ialah salah satu dari dua kumpulan parti yang lain, tetapi bukan PAS! Mahu merayu dan kekal bersama ‘perpaduan’ PAS-UMNO-BN? Kerusi dimenangi UMNO tetap ditandingi UMNO. Kita bertanding kerusi yang kita menang dan kerusi yang PR menang. Dengan sokongan golongan anti-BN yang terdiri dari Cina dan India serta Melayu yang dibelakang mereka, kita akan kalah. Kecuali di Terengganu dan Kelantan.

Maka kita akan dapati diri kita tertipu seperti mana tertipunya Abu Musa As-Syaari oleh Amr Al-As dalam peristiwa tahkim yang berlangsung selepas gencatan senjata di Siffin. Peristiwa tersebut membuktikan keikhlasan sahaja tidak mencukupi. Waraq sahaja tidak mencukupi. Ilmu hukum hakam agama sahaja pun tidak mencukupi. Cerdik politik dan kenal lawan juga amat diperlukan dan saya secara peribadi dengan melihat secara jauh, sudah mula tertanya samada inikah kekurangannya di kalangan pimpinan tertinggi PAS selama ini. Kecuali Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pendirian dan sikapnya jelas menunjukkan mengapa PAS boleh bertahan di Kelantan berpuluh tahun tetapi tidak di negeri lain…

Oleh YB
.............
Yang Dipertua ... / Ahli Parlimen.....

............................................................................##.........................................................................................

Esok final exam untuk semester ni akan bermula secara rasmi. Aku macam student- student jamiah yang lain jugak..sibuk murajaah dan kalut menguruskan urusan duniawi dan ukhrawi. Aku rancang pagi ni aku nak betul-betul fokus pada murajaah memandangkan sebelah petang nanti aku perlu bergerak ke Jeddah. Aku mulakan murajaah seusai solat subuh tadi hinggalah otak terasa tepu. Berehat seketika sambil menatap berita-berita hari ni di ruangan akhbar dan blog seluruh dunia. Tiba-tiba aku terjumpa satu tulisan dari sebuah blog..blog politik! Aku perhatikan tajuk entrinya..agak menarik lantas aku terus mengamati tulisan tersebut. Natijahnya suhu badanku meningkat dan tangan aku menggeletar menahan marah dek kerana tiap baris ayatnya yang sangat 'tajam'! Marahku ini bukan kerana lain. Marahku kerana penulis entry ini bercakap tentang sekelompok manusia yang agung selepas Baginda Muhammad s.a.w. dengan nada bahasa yang biadap,mengelirukan dan berbohong! Kalau lah bukan kerana examku esok merupakan awlawiyatku buat masa sekarang pasti aku kan habiskan masa aku untuk menjawab segala tohmahan dan kebejatan dalam entry tersebut . Buat masa sekarang aku hanya sempat menghiglightkan beberapa perkara dan memberi ulasan ringkas mengenainya. Antaranya:

1)
Amr Al-As, yang bersama Muawiyyah telah mencadangkan supaya tentera mereka meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran di hujung lembing-lembing mereka sambil melaung, “Inilah yang akan menjadi hakim di antara kita” - Ini sejarah versi Abu mikhnaf yang masyhur dengan kecenderungannya terhadap syiah. Bila perawi cerita ini bermasalah maka kita harus berhati-hati dalam meriwayatkan cerita daripadanya apatah lagi yang berkenaan dengan sahabat. Apakah benar inilah cadangan Amru al-As r.a pada Muawiyah r.a ataupun yang sebenarnya Amru al-As mencadangkan pada Muawiyah r.a supaya menghantar mashaf kepada Ali r.a. sebagai tanda ajakan diplomasi dan bukannya mengarahkan setiap tentera mengangkat mashaf dengan hujung lembing. Ini perlu pada kajian detail (Aku kategorikan kenyataan ni sebagai mengelirukan since dia quote dari riwayat perawi bermasalah)

2)telah berusaha untuk meyakinkan tenteranya supaya tidak terpedaya dengan helah ini. Namun Ali tidak berjaya. Tenteranya berbalah di antara satu sama lain atas persoalan ini dan akhirnya, untuk mendamaikan mereka kembali, Saidina Ali terpaksa bersetuju. - Ini satu lagi riwayat versi Abu Mikhnaf yang mana perlu diberi penilaian. Adakah benar ceritanya begitu ataupun sebenarnya Ali r.a. yang mahu berdamai dan menghentikan peperangan dengan memberi respon positif terhadap pelawaan kem Muawiyah r.a. namun ditentang oleh sebahagian tenteranya yang bertaraf qurra' (baca: penghafal Al-Quran) yang kemudiannya dikenali sebagai geng Khawarij. (Lagi sekali perincian terhadap fakta ini perlu dilakukan kerana ini juga riwayat yang mengelirukan)

3) kedudukan tentera Muawiyyah iaitu UMNO/BN. - Saidina Muawiyah r.a. dikiaskan sebagai Umno/ BN??!! Kebiadapan apakah ini? Seorang sahabat besar yang menjadi orang kepercayaan Baginda Muhammad s.a.w dalam mencatat wahyu dan juga menjadi pegawai kepercayaan para Khalifah untuk memimpin bumi Syam (baca : Syria, Jordan, Lubnan dan Palestin) disamakan dengan sebuah parti yang jelas tidak bersungguh dalam menegakkan syariat Allah di bumi. Mungkin benar beliau tersalah dalam ijtihad lantas tersalah memerangi Khalifah yang sah namun adakah sama kedudukan seorang mujtahid yang tersalah ijtihad dengan ahli-ahli sebuah parti politik sangat sedikit cintanya pada Islam dan hanya bertarung demi survival cita-cita politiknya, bukannya kerana ingin mencari kebaikkan untuk ummah? (Analogi ini sungguh biadap dan sangat dekat dengan bohong)

3)
Syarikat kroni mereka mengibarkan sepanduk ‘Selamat Bermuktamar’ seperti mana tentera Muawiyyah meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing. - Lagi sekali kenyataan ini perlu dinilai semula ketepatannya. Sikap yang baik bagi seorang mu'min ialah memeriksa kesahihan suatu berita yang diterima apatah lagi kalau berita itu ingin disampaikan pada orang lain pula.


4)
Maka kita akan dapati diri kita tertipu seperti mana tertipunya Abu Musa As-Syaari oleh Amr Al-As- Ayat yang sangat biadap terhadap seorang sahabat Baginda Muhammad s.a.w. yang telah pun mendapat jaminan keredhaan Allah! Bagaimana mungkin kita memperihalkan seorang manusia yang terpilih untuk menjadi pendamping kepada Rasulullah s.a.w. dengan sifat-sifat seperti 'PENIPU?!' Rujuklah semula sumber-sumber sahih dan pasti kita akan temui kebenaran dalam peristiwa tahkim dan ketinggian peribadi para sahabat yang mulia. Kekanglah lidah daripada berkata sesuatu yang buruk terhadap sahabat kerana mereka merupakan golongan yang telah dimuliakan Allah.


Mengikut metodologi aljarh wa ta'dil, seseorang yang dianggap penipu tidak akan diterima periwayatan hadithnya kerana tidak amanahnya dia dalam menaqalkan urusan agama. Dengan itu, sekiranya kita berani menuduh sahabat-sahabat baginda sebagai penipu dan sebagainya maka secara tidak langsung perkara ini akan membawa maksud bahawa sahabat juga tidak amanah dalam membawa risalah agama kepada generasi selepas mereka (tabien dll). Dengan itu rosaklah sistem agama kita selama ini dan hilanglah keisitimewaan Islam sebagai agama yang terpelihara dari sebarang penyelewengan dek kerana pembawa-pembawa agama selepas kewafatan baginda terdiri daripada orang yang tidak amanah dan menipu (kepada Allah kita mohon perlindungan)

Aku tak punya masa ingin mengulas panjang. Jauh sekali mampu untuk bercerita tentang kebenaran sejarah para sahabat, kepentingan berbaik sangka pada mereka dalam waktu begini. Aku juga ingin sekali berbual panjang tentang metodologi yang perlu difahami dlam meriwayatkan cerita- cerita sirah dari kitab Imam at-Tabari (Beliau imam yang banyak jasanya namun ramai orang tersalah cara dalam memahami kitabnya), namun aku terlalu sibuk buat masa sekarang. Catatan ringkas ini aku lakukan supaya aku ingat bahawa aku punya tugas untuk diselesaikan nanti-membela kemuliaan para sahabat r.a. Juga catatan ringkas ini aku lakukan buat jadi bimbingan untuk isteriku Marhamah dan anak-anakku kelak. Pada Allah aku pohon ampun atas segala kekurangan dan moga Dia sentiasa memandu kita semua kearah kebenaran yang hakiki..yang jauh dari sebarang syubhah dan omongan palsu!


عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ

Dari Abu Sa’id Al Khudriy Radhiyallahu’anhu beliau berkata: Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam telah bersabda: ‘Janganlah kalian mencela para sahabatku. Seandainya salah seorang dari kalian berinfaq emas seperti gunung uhud tidak akan menyamai satu mud (infaq) salah seorang dari mereka dan tidak pula setengahnya.( Riwayat Bukhari dan Muslim)



Pencinta Muhammad dan sahabat..

abu ilham


p/s : http://bahayairan.wordpress.com/category/syubhat-syubhat/ (website ni boleh dibaca untuk menambah bahan maklumat)

Wednesday, May 13, 2009

Tuesday, March 31, 2009

Bahasa Terindah

Yang diucap dalam bahasa terindah.
jawapan yang bertanya didengar nabi.
antara kagum dan khusuk setiap ayatnya.
lereng gunung menjadi amat sunyi.
suara sajak tegas bergema.
disampai arah berkias maksud serentak,
tapi jelas intinya.
tidak sedetikpun Allah menghindar.
atau mencemuh nabi disisi segala didoa.
dipenuhi segala yang dipinta tulus dan,
penuh baraqah.
yatim ia tak berlindung,
tidakkah tersedia juga bumbung baginya.
awal begitu bergantung,
kini tidakkah merdeka,
bebas hidupnya.

#di saat hati sedang rawan memikirkan nasib bidadari yang seorang itu bertarung nyawa sendirian, aku cuba menghiburkan diri dengan lafaz indah tiap bait ini. Cuba ingatkan diri yang kasih Tuhan tak bersempadan.

Tuesday, March 17, 2009

Sebelum mata terlena

Aku kini di bandar nabi. Bandar yang menjanjikan seribu fadhilat bagi mereka yang bersabar dengan kesusahan yang ditanggung ketika berada di dalamnya. Bandar yang telah berubah wajah setelah menerima kehadiran manusia agung yang seorang itu. Bandar yang telah diberkati cupak dan gantangnya.

Aku cuba mencari ketenangan di sini. Jauh dari biah yang telah biasa denganku. Aku ingin mencari semula titik permulaan bagi menyambung amanah perjuangan. Aku akan kembali ke Makkah. Aku akan kembali ke Abidiah. Moga kali ini dengan hati yang lebih jernih untuk berpayung semula di bawah bayangan Kaabah.

Saat manusia sudah pun melelapkan mata aku masih lagi terbayang bidadari yang satu itu. Dia yang sedang bertarung nyawa sendirian untuk menghadiahkanku zuriat. Aku tahu jiwanya derita ditinggal sendiri. Aku mengerti hatinya terluka bila ketiadaan teman saat menangis tanggung kesakitan. Namun dia masih mampu tersenyum bila berhadapan denganku dulu. Masih mampu bercanda ketika bersama di telefon atau di alam maya. Aku jadi kagum dengan kekuatan jiwa luar biasa yang dia pamerkan. Seolah- olah dia telah menyaksikan ganjaran syurga untuk isteri yang bersabar dengan mata kepalanya. Maha suci Allah yang menciptakan kekuatan yang luar biasa tersebut di dalam jiwa bidadari yang satu itu.

Aku perlu berhenti menulis sekarang supaya aku dapat menyambungnya lagi. Aku perlu tidur sekarang supaya aku dapat bangun lagi. Tuhan, bersaksilah..hambamu kini sangat memerlukan Mu

Rintihan Hati Di Pinggir Nabawi

menangis melutut di kaki nabi
amal tak lagi berseri
iman masih belum terpatri
jiwa kini hampir mati

menangis melutut di kaki nabi
pandangan tadabur kian kabur
langkah gempur tidak teratur
semangat tempur terasa mengendur

menangis melutut di kaki nabi
adakah masih dikira umat
atau habuan hanyalah laknat

abu ilham
madinah munawwarah.

Dedikasi buat diriku yang makin jauh dari pancaran cahaya Ilahi..kembalilah sementara masih diberi peluang..