Monday, November 30, 2009

Haji dan ceritanya

Hari ini merupakan hari ke-14 dalam bulan Zulhijjah 1431. Bermulanya hari ni sejak maghrib semalam menandakan berakhirnya musim haji untuk tahun ini. Segala pujian diangkat ke langit buat Allah yang maha menyayangi hamba-hambanya-Nya. Sehina-hina makhluk seperti aku ini pun masih lagi diberi kesempatan untuk menjadi tetamu dalam 'pesta ibadah' kali ini. Moga peluang semacam ini diberi lagi pada tahun hadapan andai ruh masih lagi bersatu dengan jasad.

Tidak banyak yang aku mahu catatkan dalam entry kali ini. Bagi yang mahu menikmati gambar sekitar 'haji1431' boleh berkunjung ke laman http://www.na5wa.com. Moga rindu dan cinta pada tanah haram akan bertambah melalui tatapan pada gambar-gambar tersebut. Cerita haji? Aku kira tak banyak bezanya dengan tahun lepas dari segi aliran pergerakkan. Berjalan kaki untuk jarak yang 'tak jauh langsung' sekali lagi menjadi plot utama cerita haji. Sejuk yang menggigit kala bermabit di Mina, lecet dan luka di situ dan sini terus menjadi bahan jenaka dan gurauan sesama rakan di penghujung tiap malam ( Aku sendiri ditertawa bila gaya jalan berubah bagaikan perempuan sarat mengandung dek sakit yang mula menyapa di bahagian kaki dan betis- Moga sakit ni bisa berperanan sebagai kafarah dosa demi mengelak sakit yang jauh lebih pedih satu hari kelak). Tak dilupakan juga suasana sesak sekitar manasik haji yang seringkali menggugah keinginan untuk keluar rumah biarpun sekadar mahu mencari nasi untuk santapan di tengahari terus mewarnai hari hari Zulhijjah 1431. Aku tidak berminat untuk bercerita panjang mengenai perkara itu lagi. Aku yakin, cerita yang sama pasti berulang tahun hadapan. Aku hanya ingin menulis tentang satu dua perkara yang aku kira penting untuk aku dan boleh diambil manfaat oleh orang yang membaca tulisan ini.

Pertama, aku tertarik dengan tulisan Dr. Asri, bekas Mufti Perlis yang berbicara soal hakikat pengorbanan yang begitu sinonim dengan Eidul-Adha. (Bagi yang mahu sila baca tulisan beliau di laman webnya di bawah tajuk " Pengorbanan bukan sekadar cerita' dan jangan risau.. anda tidak akan jadi wahabi dengan membacanya!). Tulisan yang baik untuk dijadikan renungan kepada para daie ataupun kepada para pengutip korban yang begitu aktif bergerak dalam menyampaikan 'fadhilat korban' kepada para pendengar terutamanya jemaah haji. Pesan ku pada diriku, tak salah mencari rezeki, cuma biarlah dunia tu diletak di tangga kedua selepas tanggugjawab ukhrawi. Ikhlaskan lah hati ketika berkempen dan mohon la pertolongan dari Allah agar tak terkalah oleh nafsu dan syaitan.

Kedua, juga berkaitan dengan tulisan web seorang ulama muda iatu Ust Zaharuddin Abd Rahman. Beliau berbicara solat ikhlas juga tapi dalam skop yang lebih luas. Skop dakwah. Betapa ramainya orang tertipu dengan 'rasa ikhlas dalam hati' yang padahal itu bukan ikhlas tapi 'perasan ikhlas'. (Baca lah sendiri di laman webnya di bawah tajuk "Sesungguhnya ia lebih& amat sukar. Aku syorkan dan aku harapkan pahala dari pembacaan kalian) Aku ingin sekali lagi memberi pesan pada diriku, jangan mudah terpesona dengan pujian manusia dan jangan mudah merasa cukup bila mampu menjawab soalan-soalan yang diajukan. Ingatlah kejahilan dan hakikat kekotoran diri sendiri dan sentiasalah mujahadah untuk ikhlas belajar dan mengajar. Jangan nanti menyesal melihat amalan di sisi Allah hanya umpana debu yang berterbangan. Tak mampu menjadi penyelamat dari api neraka apatah lagi untuk menjadi sebab masuk syurga Allah.


Moga haji kali ini diterima...

3 comments:

Lutfi Lokman a.k.a kamitaken said...

tq for atas perkongsian.

khaulah mujahidah said...

semoga diberkati didunia dan akhirat.

sirru 'ala barakatillah.

Abdul Munir Sanusi said...

semoga ibadah haji diterima

slm ceria dari jordan