Sunday, December 14, 2008

Tanggungjawab Lebih Banyak Daripada Masa Yang Ada

Bila tengok tarikh pada entry terakhir yang aku postkan, rasanya dah hampir sebulan aku tidak menulis. Sungguh, aku terlalu sibuk untuk menulis. Ramai yang bertanya pada aku 'bila lagi nak update blog?'. Jawapan aku pasti sama, ' nak menulis kena dengan hati..buat masa sekarang hati belum mahu menulis'. Ya, aku hanya akan menulis bila aku yakin penulisan aku akan diiringi dengan rasa hati yang sedar dan peka. Kata orang kena ada 'feel' dulu. Aku rasa ramai blogger setuju dengan pendapat aku ni dan untuk itu aku rasa kredit harus diberikan pada blogger yang rajin mengemaskini blog mereka biarpun dalam tuntutan tugas seharian yang sentiasa menghambat (sebagai contoh kamitaken dan dhuhasakeenah yang rajin update blog..respeklah!).

Sepanjang sebulan lepas memang banyak perkara yang telah terjadi yang patut direkod. Bermula dengan berlangsungnya kursus haji anjuran PPM Makkah kemudian disambung dengan qiyamulail dan muzakarah haji pada keesokan harinya. Secara peribadi aku menganggap 2 program ini berjaya-segala pujian hanya milik Allah- kerana objektifnya tercapai dan ahli-ahli PPM telah menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam menguruskan perjalanan program. Setinggi-tinggi penghargaan kepada teman-teman PPM dan juga abg khuzzaini and the team atas sokongan padu yang diberi. InsyaAllah, tahun depan kita buat lagi!

Habis je 2 program ni aku terus dijemput untuk memenuhi beberapa undangan 'ceramah haji' di Makkah dan Jeddah. Aku bukan alim yang mampu menyelesaikan semua persoalan manusia cuma hamba yang sedang diuji oleh tuhannya. Observation aku untuk perkara ini- Ummah sangat dahagakan bimbingan dan tunjuk ajar dari pelajar-pelajar agama dan sangat tidak wajar untuk penuntut ilmu berpangku tangan dan tidak bergerak kehadapan 'belajar dan mengajar'. Ilmu merupakan amanah dan amanah akan dipersoalkan kelak. Apa pun, aku bersyukur sangat kerana dengan undangan ini aku berpeluang mengintai keperluan masyarakat seterusnya mengingatkan diriku tentang tuntutan yang wajib dipenuhi.

Tiba musim haji, semuanya sibuk dengan rutin ibadah yang sarat dengan falsafah tu. Aku selaku wakil tuan rumah terpaksa membahagikan masa aku antara ibadah peribadi dengan melayan dan mengurus kunjungan tetamu dari seluruh tempat ke PPM Mekah. Ada yang datang berziarah, ada juga yang tumpang menginap di rumah PPM Mekah sepanjang musim haji. Harmoni dan mesra enviromentnya bila penuntut-penuntut ilmu dari merata tempat berkumpul di bawah satu bumbung dan bersosial. Kemuncaknya berlangsung perjumpaan pelajar Malaysia sedunia yang ada di tanah haram ketika itu. Wakil-wakil pelajar Malaysia dari Mesir, Jordan, Sudan dan Arab Saudi sendiri bertemu mata dalam satu majlis yang ringkas, sederhana tapi penuh maknanya (harap tahun depan wakil UK, Yaman dan lain-lain dapat hadir yer :>). Sekali lagi kredit yang besar harus diberikan pada ahli-ahli PPM yang bertungkus lumus menjayakan perjumpaan ini biarpun dalam kesibukan dan kepenatan haji masing-masing terutamanya Falah selaku programmer yang dedikasi, Din dan Wadi selaku iron chef dan lutfi sebagai photographer.

Sekarang, semuanya semakin kembali kepada jadual asal. Ramai daripada kami yang kurang sihat dek musim haji yang baru sahaja berlalu. Rumah PPM juga agak kelam kabut lagi sementara menunggu untuk di kemas semula. Namun, bagi aku ini apa yang telah terjadi sepanjang sebulan lepas merupakan bukti hidup (living proof) yang mengisyaratkan bahawa PPM Makkah sememangnya mampu mentadbir dan menguruskan masyarakat. Ahli-ahli PPM memang berkebolehan untuk menjadi fasilitator kepada ummah dan aku pohon taufik dari Allah untuk terus memberikan PPM Makkah kekuatan dalam meneruskan langkah.

Pagi ini, aku sangat rindukan isteri dan anak aku. Pengorbanan mereka sangat besar dan hanya Allah yang layak membalasnya. Dalam rajuk dan tangis, bidadari yang satu tu tetap menyokong dan menjadi nafas dalam tiap gerak kerja ku. Blog ini sendiri mendapat sentuhan kasihnya (cantik kan header baru blog ni). Dia perempuan yang sangat menarik. Dalam kemanjaan dan kelembutan, terpancar kekentalan dan ketabahan mujahidah yang sedang bertarung dengan hidup. Dia isteri yang sememangnya aku dambakan. Dia teman karib yang sangat aku perlukan dalam safar perit ini. Moga Allah menghitung kebaikan dunia akhirat untuk bidadari yang satu ini dengan tiap debu yang melekat pada tubuhku ketika menuntut ilmu, dengan tiap hela nafasku ketika meyampai ilmu dan dengan tiap titis air mataku ketika aku rindu.

Hari semakin siang. Aku perlu bereskan banyak lagi tugas. Perbincangan dengan Husaini, perbualan dengan Abd Rahman Melaka dan perjumpaan dengan Faizal Tehrani 2 hari lepas memenuhkan lagi diari hidup aku dengan catatan 'ada kerja yang perlu dibuat'. Tanggungjawab lebih banyak dari masa yang aku miliki sekarang. Moga kaki ini terus gagah melangkah.

1 comment:

dhuha sakeenah said...

doa abang selalu sayang dambakan. semoga nanti kita dapat bersantai bersama di jannah yang abadi atas apa yang telah kita usahakan di bumi fana ini. ameen..