Thursday, June 18, 2009

ما لا يتم الواجب إلا به فهوالواجب

Aku mengenali 'usrah' seawal usia 13 tahun. Lebih tepat ketika aku mula mendaftar sebagai pelajar tingkatan peralihan Maahad Muhammadi Lelaki Kota Bharu, Kelantan. Bermula detik itu, usrah la menjadi medan utama aku menimba pelbagai ilmu yang tak mungkin aku temui dalam kelas. Melalui usrah aku diajar cara hidup seorang muslim, kewajipan berdakwah kepada manusia dan sebagainya. Usrah juga memperkenalkan aku kepada tokoh-tokoh gerakan Islam seluruh dunia. Sebagai seorang yang datang dari keluarga yang 'biasa-biasa' sahaja..aku sangat bersyukur kerana dipilih Allah untuk memperoleh ilmu-ilmu sebegini berbanding rakan-rakan yang lain yang sudah pun berkenalan dengan 'tarbiah dan dakwah' sejak dalam kandungan lagi dek kerana ayah dan ibu mereka merupakan orang yang telah pun terlibat secara langsung dalam dunia gerakan Islam.

Semakin usia ku meningkat aku makin dekat dengan bahan tarbiah usrah. Bermula dari persoalan-persoalan asas sebagai muslim hinggalah kepada perbincangan tentang daulah. Menurut usrah yang aku ikuti, daulah merupakan sesuatu yang wajib ditegakkan oleh muslim kerana dengan daulah lah dapat dilaksana hukum syariah. Maka dengan maksud itu, menyertai jemaah@gerakan islam (seperti PAS, ABIM,JIM,ISMA, dll) hukumnya ialah wajib kerana melalui jemaah lah daulah akan terhasil. Hubungan antara penyertaan dalam gerakan Islam dengan penghasilan sebuah daulah Islamiah diumpamakan sebagai hubungan antara wudhu dengan solat. Berwudhu menjadi wajib ketika ingin mendirikan solat kerana solat itu tidak akan terhasil (baca:sah) melainkan adanya wudhu. Ini berdasarkan prinsip asas dalam feqah iaitu 'ما لا يتم الواجب إلا به فهو الواجبٍ

Sekarang, aku merupakan pelajar tahun satu Jabatan Undang-Undang Kuliah Syariah Universiti Ummul Qura, Makkah al Mukarramah. Antara subjek muqarrar sem kali ni ialah Usul fiqh lil Qadha'. Kitab Nihayatul Sul karangan Imam Asnawi rahimahullah menjadi santapan utama untuk subjek ni. Satu hari, kami belajar tentang sesuatu perkara yang mengucar kacirkan semula pendirian kau selama ni. Tajuk muhadarah hari tu ialah 'ما لا يتم الواجب إلا به فهوالواجب '. Secara ringkas kaedah ini membawa erti sesuatu perkara yang menjadi perkara yang menjadi syarat untuk sahnya/berhasilnya sesuatu perkara wajib di sisi syara itu hukumnya wajib. Di dalam perincian, perkara yang menjadi menjadi syarat wajib untuk sahnya/berhasilnya sesuatu perkara wajib di sisi syara' ini terdiri daripada beberapa komponen iaitu :

1) Sebab- السبب

1. Perkara yang sekiranya dia ada, maka perkara wajib itu akan ada
2. Perkara yang sekiranya dia tiada maka perkara wajib itu tidak akan ada
3. Perkara yang menjadi sebab itu bukanlah sebahagian daripada perkara wajib itu
4. Contoh- Tergelincirnya Matahari merupakan sebab kepada wajibnya solat Zuhur. Sekiranya Matahari tak tergelincir maka tidak wajib untuk solat Zuhur. Tergelincirnya matahari itu pula bukanlah sebahagian daripada solat tapi merupakan sebab untuk diiktirafnya solat itu

2) Syarat- الشرط

1. Perkara yang sekiranya dia tiada, maka perkara wajib itu pun tiada
2. Perkara yang sekiranya dia ada, tidak semestinya perkara wajib itu akan ada
3. Perkara yang sekiranya dia ada, tidak semestinya perkara wajib itu tiada
4. Perkara yang menjadi syarat itu bukanlah sebahagian daripada perkara wajib itu.
5. Contoh- Wudhu merupakan syarat kepada wujudnya sesebuah solat itu (solat yang tidak sah dianggap syara' sepeti tiada/tidak dikerjakan ). Sekiranya wudhu tiada, solat tidak akan ada. Sekiranya wudhu ada tidak semestinya solat itu akan dikira ada juga (misalnya orang berwudhu tapi untuk memegang mashaf al-Quran). Sekiranya wudhu ada, solat jugak tidak semesti tiada kerana mungkin juga orang itu berwudhu untuk solat, dan wudhu itu bukan la sebahagian dari solat tetapi menjadi syarat untuk diiktiraf solat itu.

Ada 2 lagi komponen iaitu rukun- الركن dan Illah- العلة tapi aku kira yang dua ini tidak ada kaitan dengan tajuk kali ini

Imam Asnawi juga menyatakan bahawa perkara yang menjadi komponen kepada terhasilnya perkara wajib ini (disebut muqaddimah wajibat) juga boleh dibahagi kepada beberapa sifat, antaranya :

- Perkara yang menjadi komponen ini mestilah bersifat ''mesti ada'(aku tambah : kalau tiada, tak boleh) untuk wujudnya perkara wajib itu. Contohnya : Tergelincirnya matahari (sebab) dan berwudhu( syarat) merupakan perkara yang kalau tiada 2 benda ni takkan dikira solat itu. Sesiapa yang solat Zuhur sebelum tergelincir matahari tidak dikira solatnya sebab tiada sebab dan sesiapa yang solat zuhur selepas tergelincir matahari tetapi takde wudhu tetap tak sah sebab tiada syarat.

Rentetan dari pengajian ini aku mula berfikir akan ketepatan kaedah ini untuk dijadikan hujah mewajibkan sesorang itu menyertai jemaah yang ada hari ini. Dalam hal ini membentuk daulah dikira sebagai wajib (perkara ini juga kita akan bincang tetapi di waktu lain). Maka tinggallah persoalan menyertai jemaah yang dikatakan sebagai komponen kepada wujudnya perkara wajib itu. Adakah dia sebab atau syarat? Sekiranya ingin katakan ia sebagai sebab maka aku rasakan ianya kurang tepat kerana salah satu ciri sebab ialah 'Perkara yang sekiranya dia tiada maka perkara wajib itu tidak akan ada'. Hakikatnya, ketika masih belum wujud lagi jemaah jemaah seperti yang kita kenal sekarang di dunia, daulah dan khilafah islamiah telah lama terbentuk iaitu sejak dari zaman rasulullah sehinggalah zaman khilafah uthmaniah turki dan kewajipan melaksanakan undang-undang allah di muka bumi ini sudah lama termaktub dalam syariat sebelum era penubuhan jemaah jemaah ini pun. Maka dengan itu tertolak lah menyertai jemaah sebagai sebab kepada wujudnya daulah. Begitulah juga halnya dengan syarat. Syarat juga bererti 'Perkara yang sekiranya dia tiada, maka perkara wajib itu pun tiada'. Hakikatnya daulah islamiah telah lama wujud sebelum sistem gerakan islam yang ada pada hari ini diperkenalkan.

Tambah lagi, sifat yang perlu ada untuk menjadi 'muqaddimat wajibat' ialah 'Perkara yang menjadi komponen ini mestilah bersifat 'mesti ada' untuk wujudnya perkara wajib itu. Dalam erti
kata lain, tidak ada pilihan lain untuk menggantikannya. Misalnya wudhu merupakan syarat untuk solat. Tiada pilihan (tayamum hanya dibenarkan bila tiadanya kemampuan menggunakan air. Tayamum bukan satu pilihan). Soalnya, adakah melalui jemaah- jemaah ini sahaja daulah baru boleh terbentuk dan tidak ada pilihan lain selain jalan ini? Bukankah penubuhan jemaah- jemaah ini merupakan ijtihad daripada para pengasas sebagai jalan untuk mengembalikan daulah semula yang telah lenyap dan bukannya perkara qatie yang telah diputuskan oleh syara seperti wudhu tadi. Bagaimana mungkin untuk dikiaskan sesuatu perkara qatie, yang tiada pilihan lain selain dia dengan perkara ijtihad yang terdedah kepada silap dan betul.

Aku menulis perkara ini bukan bermaksud aku ingin memperlekehkan usaha dakwah dan tarbiah yang dilakukan oleh ahli ahli jemaah yang ada. Aku cuma terkesan dengan beberapa insiden yang berlaku di hadapan mataku sendiri yang menyaksikan orang orang yang telah menggabungkan diri dalam jemaah tertentu 'memandang sebelah mata' kepada orang yang tidak terlibat dalam gerakan seperti mereka. Pada tanggapan mereka, mereka ini golongan yang tidak melaksanakan kewajipan dalam Islam, tidak bekerja untuk Islam dan tidak berjihad sekalipun orang tersebut merupakan seorang alim yang mengajar ratusan ummat, seorang ayah yang telah berjaya mendidik anak-anaknya mentaati Allah dan Rasul. Dia tetap dianggap tidak bekerja untuk Islam 'kerana tidak ada jemaah'!

Ya, aku boleh bersetuju berjuang tegakkan Islam ialah kewajiban setiap individu. Aku juga bersetuju berusaha membina daulah satu tuntutan untuk memastikan undang-undang Allah dapat dijalankan. Tetapi cara untuk mendapatkan daulah itu luas dan pelbagai. Mengikut ijtihad dan kemampuan masing-masing dan menyertai jemaah bukanlah satu-satunya cara untuk bekerja untuk Islam ataupun berjuang mendapatkan daulah. Sekiranya kita mengatakan hukum berjemaah itu wajib sepertimana wajibnya wudhu maka di sini akan timbul beberapa kesan ;

1. Hanya dengan menyertai jemaah sahaja daulah boleh terbentuk dan tidak dengan cara lain.
2. Sekiranya jemaah jemaah telah wujud maka perjuangan-perjuangan membina daulah melalui jalan lain dikira tidak sah dan tidak diiktiraf syara' (sepertimana tidak sahnya tayammum ketika sudah ada kemampuan untuk menggunakan air)
3. Orang -orang alim, ulama ulama yang mengajar dan mendidik manusia tetapi mereka tidak terlibat dalam mana-mana jemaah akan dikira tetap berdosa kerana tidak menyertai jemaah dan tidak bekerja untuk Islam. Ini kerana apabila wudhu merupakan fardhu ain untuk tiap musolli (orang yang ingin solat) sekiranya ditinggal orang itu berdosa dan dia tidak kira menunaikan solat.

Kesimpulannya, marilah kita sama -sama bekerja untuk Islam dan menyumbang kepada keagungan Islam mengikut cara yang bersesuaian dengan diri kita tanpa sedikit pun merasa cara-cara lain yang dipilih merupakan cara yang tidak diiktiraf syara', yang tidak mendatangkan hasil dan tidak melepaskan si pelakunya dari dosa. Walaupun seorang ayah tidak berintima dengan mana-mana jemaah tetapi dia menunaikan tanggungjawab mendidik anaknya mengenal dan mentaati Allah dan Rasulnya sebenarnya dia telah pun menunaikan tanggungjawab dakwahnya dan juga telahpun bekerja untuk Islam. Dia tidak sepatutnya dituduh tidak menunaikan tanggungjawab sebagai orang Islam. Dia pasti akan diganjari setimpal dengan amalnya walaupun mungkin pahalanya tidaklah sebanyak pahala aktivis yang turun ke medan masyarakat yang lebih luas namun untuk mengatakan dia tidak tunaikan kerja untuk Islam, aku fikir payah untuk aku bersetuju. Sesungguhnya jalan dakwah dan jihad itu luas. Maka pilihlah semahu diri tanpa menafikan pilihan orang!

Thursday, June 11, 2009

...tidak akan menyamai satu mud pun.....

SHAH ALAM: Pada hari terakhir Muktamar, saya telah ke depan, menyokong usul yang dibawa oleh PAS Tambun berhubung pembentukan Suruhnjaya Di Raja untuk mengkaji ‘rampasan kuasa’ di Perak. Dalam penghujahan saya pada hari itu, saya telah menyebut peristiwa perang Siffin dan bagaimana ianya mempunyai kaitan dengan keadaan politik kita pada ketika ini. Oleh kerana masalah masa yang diberikan amat singkat, saya tidak sempat untuk menjelaskan persoalan ini dengan lebih terperinci. Saya akan cuba lakukannya di sini.

Untuk mereka yang tidak tahu mengenai peristiwa Perang Siffin, ianya merupakan peperangan di antara tentera Saidina Ali (KW) dan Muawiyyah. Ianya berlaku pada penghujung pemerintahan Saidina Ali.

Dalam peringkat-peringkat awal peperangan ini, tentera Saidina Ali memang jelas menguasai pertempuran. Mereka mengasak kedudukan Muawiyyah hingga kelihatan seolah-olah mereka akan mencapai kemenangan. Dalam saat-saat yang genting sebegini, Amr Al-As, yang bersama Muawiyyah telah mencadangkan supaya tentera mereka meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran di hujung lembing-lembing mereka sambil melaung, “Inilah yang akan menjadi hakim di antara kita”. Tindakan ini bertujuan untuk meminta pihak Saidina Ali untuk sama-sama menghentikan peperangan dan merujukkan persoalan dan perbalahan yang sedang mereka hadapi kepada Al-Quran. Dalam erti kata lain, biarlah ianya diputuskan secara berbincang berdasarkan Al-Quran dan bukannya peperangan.

Matlamat sebenar tindakan ini dijelaskan oleh Amr Al-As sendiri. Beliau berkata kepada Muawiyyah, “Bila sebahagian dari mereka menolak, pasti akan ada kelompok yang lain yang berkata; ‘Sepatutnya kita menerima’. Maka dengan demikian akan terjadilah perpecahan di kalangan mereka. Dan sekiranya mereka semuanya sepakat untuk menerima saranan kita ini, kita mendapat kesempatan untuk menunda peperangan ini hingga waktu yang tertentu.” Penundaan ini bertujuan untuk melepaskan diri mereka dari keadaan yang begitu tertekan pada ketika itu.

Saidina Ali (KW) yang tidak kurang handalnya dalam soal peperangan serta tipu helah musuh dan juga sebagai seorang yang mengenali Muawiyyah, telah berusaha untuk meyakinkan tenteranya supaya tidak terpedaya dengan helah ini. Namun Ali tidak berjaya. Tenteranya berbalah di antara satu sama lain atas persoalan ini dan akhirnya, untuk mendamaikan mereka kembali, Saidina Ali terpaksa bersetuju.

Dengan itu tercapai hajat Amr Al-As. Tentera Ali tidak lagi mengasak kedudukan mereka, kekalahan pada hari itu dapat dielak dan akhirnya Muawiyyah mencapai kemenangan pada waktu lain selepas peristiwa itu.

Pakatan Rakyat dalam keadaan sekarang, bagaikan tentera Saidina Ali yang sedang mengasak kedudukan tentera Muawiyyah iaitu UMNO/BN. Kita maju selangkah demi selangkah dan jelas dalam BN ketakutan. Tiba-tiba ada yang mencadangkan perpaduan, perdamaian! Pakatan Rakyat, seperti tentera Saidina Ali, mula berbalah sesame kita. PKR dan DAP terpingnga-pingnga dengan sebutan-sebutan ‘perpaduan’. Malah PAS sendiri pun terbahagi dua dalam menghadapi persoalan ini. Kesatuan yang terbentuk selama ini seolah tergugat dan UMNO/BN dengan segeranya menyatakan persetujuan mereka terhadap perdamaian dan persatuan yang dicadang-cadangkan.

Syarikat kroni mereka mengibarkan sepanduk ‘Selamat Bermuktamar’ seperti mana tentera Muawiyyah meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing. Ini dinyatakan sebagai bukti keikhlasan mereka untuk ‘berdamai’ dengan kita. Tetapi seperti yang saya katakan tempohari, “apalah nilai sepanduk-sepanduk ini berbanding mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing”? Walaupun dengan mushaf-mushaf Al-Quran sendiri, sejarah membuktikan penipuan berlaku! Ya, memang, kita tidak sebaik tentera Saidina Ali. Tetapi ingat! Mereka juga jauh lebih buruk dari tentera Muawiyyah!

Seterusnya mereka akan memuji dan melambung pemimpin-pemimpin yang mencadangkan ‘perpaduan’ ini dan menyatakan betapa mereka berterima kasih dengan cadangan tersebut. Mereka bermesra dengan PAS, bermanja dengan pemimpin-pemimpin pro-perpaduan ini dan dengan itu merejamkan lembing perbalahan di antara kita!

Punca perbalahan dan ‘perpecahan’ di kalangan kita adalah kerana cadangan ‘perpaduan’ yang datang tanpa perbahasan dan tiada yang mempersetujuinya kecuali sedikit. Namun yang sedikit yang setuju bercakap bagi yang ramai yang tidak!

Yang agak pelik, dalam senario peperangan Siffin, cadangan perdamaian datangnya dari pihak yang diasak kerana hampir-hampir dikalahkan. Dalam keadaan kita sekarang, perdamaian dicadangkan oleh kita yang sedang mengasak yang hampir-hampir menang! Dengan itu akan terlepaslah peluang untuk mencapai kemenangan yang muktamad!

UMNO/BN akan menggunakan ‘persetujuan’ mereka untuk menimbangkan cadangan PAS sebagai bukti keikhlasan mereka. Penolakan oleh PKR dan DAP yang hampir pasti berlaku akan digunakan sebagai bukti ketidak-ikhlasan mereka berdua. “Mereka tidak mahu orang Islam Melayu bersatu” akan dilaungkan secara nyaring oleh pemimpin-pemimpin yang sedang seronok dilambung pujian dan sanjungan dari semua pihak. Pegawai Kerajaan, Professor Universiti, Pakar perubatan Melayu UMNO dan sebagainya akan disusun satu demi satu untuk memberi sanjungan dan akhirnya apa yang dinginkan akan berlaku, seperti berlakunya apa yang diinginkan oleh Amr Al-As dalam perang Siffin.

Perbalahan akan berlaku di antara kita di dalam PR dan malah di dalam PAS itu sendiri dan akhirnya, pemimpin-pemimpin yang disanjung dan dilambung itu akan menjadikan PAS berseorangan berpakat dengan UMNO. Tidak mungkin PAS menolak apabila cadangan itu datang dari PAS sendiri! Pemimpin pro-perpaduan ini akan berusaha supaya perhubungan kita dalam PR semakin keruh hingga akhirnya PAS diminta keluar kerana dilihat semakin rapat dengan UMNO. Akan kedengaran pada masa itu, “Bukan kami yang nak keluar, kami diminta keluar!” dan “Kalau dengan PKR dan DAP boleh bersama, takkan dengan UMNO tidak boleh”. Mereka akan bertanya kepada ahli-ahli yang masih terpingnga-pingnga dengan keadaan yang baru ini. Hanya semalam menyerang UMNO/BN, hari ini menjadi kawan? Hanya semalam bersama PR, hari ini menjadi lawan?

Adakah ini disebabkan inginkan kemenangan yang segera seperti mi segera atau mi celup? Adakah ianya kerana tidak sedar bahawa kita sebenarnya sudah berada diambang kemenangan? Atau, lagi teruk, adakah ianya disebabkan keengganan mencapai kemenangan melalui Pakatan Rakyat? Ini semua merupakan persoalan yang valid dan wajar difikirkan bersama.

Namun, yang lebih penting untuk kita fikirkan adalah implikasi kepada masa depan PAS itu sendiri. Kita akan kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India yang melihat tindakan kita sebagai khianat dan perjuangan Islam akan dilihat sebagai satu perjuangan oppurtunis yang tidak mempunyai prinsip dan asas yang kukuh. Usaha selama berpuluh tahun akan musnah begitu sahaja dengan sekelip mata.

Namun yang lebih teruk, keadaan kita akan begitu terdedah, bergantung kepada ihsan UMNO. Sekiranya kita dikhianati UMNO, ke mana hendak kita pergi? Sekiranya selepas mencapai matlamat mereka dan berpisahnya kita dari PR dan kekuatan PR tergugat, UMNO mengusir kita seperti dahulu, ke mana hendak kita pergi?

Berseorangan, bagaikan parti politik murahan, ayam tak patuk, itik tak sudu. Ke PR pun tidak dan ke BN pun tidak. 3 penjuru? Yang akan menang ialah salah satu dari dua kumpulan parti yang lain, tetapi bukan PAS! Mahu merayu dan kekal bersama ‘perpaduan’ PAS-UMNO-BN? Kerusi dimenangi UMNO tetap ditandingi UMNO. Kita bertanding kerusi yang kita menang dan kerusi yang PR menang. Dengan sokongan golongan anti-BN yang terdiri dari Cina dan India serta Melayu yang dibelakang mereka, kita akan kalah. Kecuali di Terengganu dan Kelantan.

Maka kita akan dapati diri kita tertipu seperti mana tertipunya Abu Musa As-Syaari oleh Amr Al-As dalam peristiwa tahkim yang berlangsung selepas gencatan senjata di Siffin. Peristiwa tersebut membuktikan keikhlasan sahaja tidak mencukupi. Waraq sahaja tidak mencukupi. Ilmu hukum hakam agama sahaja pun tidak mencukupi. Cerdik politik dan kenal lawan juga amat diperlukan dan saya secara peribadi dengan melihat secara jauh, sudah mula tertanya samada inikah kekurangannya di kalangan pimpinan tertinggi PAS selama ini. Kecuali Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pendirian dan sikapnya jelas menunjukkan mengapa PAS boleh bertahan di Kelantan berpuluh tahun tetapi tidak di negeri lain…

Oleh YB
.............
Yang Dipertua ... / Ahli Parlimen.....

............................................................................##.........................................................................................

Esok final exam untuk semester ni akan bermula secara rasmi. Aku macam student- student jamiah yang lain jugak..sibuk murajaah dan kalut menguruskan urusan duniawi dan ukhrawi. Aku rancang pagi ni aku nak betul-betul fokus pada murajaah memandangkan sebelah petang nanti aku perlu bergerak ke Jeddah. Aku mulakan murajaah seusai solat subuh tadi hinggalah otak terasa tepu. Berehat seketika sambil menatap berita-berita hari ni di ruangan akhbar dan blog seluruh dunia. Tiba-tiba aku terjumpa satu tulisan dari sebuah blog..blog politik! Aku perhatikan tajuk entrinya..agak menarik lantas aku terus mengamati tulisan tersebut. Natijahnya suhu badanku meningkat dan tangan aku menggeletar menahan marah dek kerana tiap baris ayatnya yang sangat 'tajam'! Marahku ini bukan kerana lain. Marahku kerana penulis entry ini bercakap tentang sekelompok manusia yang agung selepas Baginda Muhammad s.a.w. dengan nada bahasa yang biadap,mengelirukan dan berbohong! Kalau lah bukan kerana examku esok merupakan awlawiyatku buat masa sekarang pasti aku kan habiskan masa aku untuk menjawab segala tohmahan dan kebejatan dalam entry tersebut . Buat masa sekarang aku hanya sempat menghiglightkan beberapa perkara dan memberi ulasan ringkas mengenainya. Antaranya:

1)
Amr Al-As, yang bersama Muawiyyah telah mencadangkan supaya tentera mereka meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran di hujung lembing-lembing mereka sambil melaung, “Inilah yang akan menjadi hakim di antara kita” - Ini sejarah versi Abu mikhnaf yang masyhur dengan kecenderungannya terhadap syiah. Bila perawi cerita ini bermasalah maka kita harus berhati-hati dalam meriwayatkan cerita daripadanya apatah lagi yang berkenaan dengan sahabat. Apakah benar inilah cadangan Amru al-As r.a pada Muawiyah r.a ataupun yang sebenarnya Amru al-As mencadangkan pada Muawiyah r.a supaya menghantar mashaf kepada Ali r.a. sebagai tanda ajakan diplomasi dan bukannya mengarahkan setiap tentera mengangkat mashaf dengan hujung lembing. Ini perlu pada kajian detail (Aku kategorikan kenyataan ni sebagai mengelirukan since dia quote dari riwayat perawi bermasalah)

2)telah berusaha untuk meyakinkan tenteranya supaya tidak terpedaya dengan helah ini. Namun Ali tidak berjaya. Tenteranya berbalah di antara satu sama lain atas persoalan ini dan akhirnya, untuk mendamaikan mereka kembali, Saidina Ali terpaksa bersetuju. - Ini satu lagi riwayat versi Abu Mikhnaf yang mana perlu diberi penilaian. Adakah benar ceritanya begitu ataupun sebenarnya Ali r.a. yang mahu berdamai dan menghentikan peperangan dengan memberi respon positif terhadap pelawaan kem Muawiyah r.a. namun ditentang oleh sebahagian tenteranya yang bertaraf qurra' (baca: penghafal Al-Quran) yang kemudiannya dikenali sebagai geng Khawarij. (Lagi sekali perincian terhadap fakta ini perlu dilakukan kerana ini juga riwayat yang mengelirukan)

3) kedudukan tentera Muawiyyah iaitu UMNO/BN. - Saidina Muawiyah r.a. dikiaskan sebagai Umno/ BN??!! Kebiadapan apakah ini? Seorang sahabat besar yang menjadi orang kepercayaan Baginda Muhammad s.a.w dalam mencatat wahyu dan juga menjadi pegawai kepercayaan para Khalifah untuk memimpin bumi Syam (baca : Syria, Jordan, Lubnan dan Palestin) disamakan dengan sebuah parti yang jelas tidak bersungguh dalam menegakkan syariat Allah di bumi. Mungkin benar beliau tersalah dalam ijtihad lantas tersalah memerangi Khalifah yang sah namun adakah sama kedudukan seorang mujtahid yang tersalah ijtihad dengan ahli-ahli sebuah parti politik sangat sedikit cintanya pada Islam dan hanya bertarung demi survival cita-cita politiknya, bukannya kerana ingin mencari kebaikkan untuk ummah? (Analogi ini sungguh biadap dan sangat dekat dengan bohong)

3)
Syarikat kroni mereka mengibarkan sepanduk ‘Selamat Bermuktamar’ seperti mana tentera Muawiyyah meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing. - Lagi sekali kenyataan ini perlu dinilai semula ketepatannya. Sikap yang baik bagi seorang mu'min ialah memeriksa kesahihan suatu berita yang diterima apatah lagi kalau berita itu ingin disampaikan pada orang lain pula.


4)
Maka kita akan dapati diri kita tertipu seperti mana tertipunya Abu Musa As-Syaari oleh Amr Al-As- Ayat yang sangat biadap terhadap seorang sahabat Baginda Muhammad s.a.w. yang telah pun mendapat jaminan keredhaan Allah! Bagaimana mungkin kita memperihalkan seorang manusia yang terpilih untuk menjadi pendamping kepada Rasulullah s.a.w. dengan sifat-sifat seperti 'PENIPU?!' Rujuklah semula sumber-sumber sahih dan pasti kita akan temui kebenaran dalam peristiwa tahkim dan ketinggian peribadi para sahabat yang mulia. Kekanglah lidah daripada berkata sesuatu yang buruk terhadap sahabat kerana mereka merupakan golongan yang telah dimuliakan Allah.


Mengikut metodologi aljarh wa ta'dil, seseorang yang dianggap penipu tidak akan diterima periwayatan hadithnya kerana tidak amanahnya dia dalam menaqalkan urusan agama. Dengan itu, sekiranya kita berani menuduh sahabat-sahabat baginda sebagai penipu dan sebagainya maka secara tidak langsung perkara ini akan membawa maksud bahawa sahabat juga tidak amanah dalam membawa risalah agama kepada generasi selepas mereka (tabien dll). Dengan itu rosaklah sistem agama kita selama ini dan hilanglah keisitimewaan Islam sebagai agama yang terpelihara dari sebarang penyelewengan dek kerana pembawa-pembawa agama selepas kewafatan baginda terdiri daripada orang yang tidak amanah dan menipu (kepada Allah kita mohon perlindungan)

Aku tak punya masa ingin mengulas panjang. Jauh sekali mampu untuk bercerita tentang kebenaran sejarah para sahabat, kepentingan berbaik sangka pada mereka dalam waktu begini. Aku juga ingin sekali berbual panjang tentang metodologi yang perlu difahami dlam meriwayatkan cerita- cerita sirah dari kitab Imam at-Tabari (Beliau imam yang banyak jasanya namun ramai orang tersalah cara dalam memahami kitabnya), namun aku terlalu sibuk buat masa sekarang. Catatan ringkas ini aku lakukan supaya aku ingat bahawa aku punya tugas untuk diselesaikan nanti-membela kemuliaan para sahabat r.a. Juga catatan ringkas ini aku lakukan buat jadi bimbingan untuk isteriku Marhamah dan anak-anakku kelak. Pada Allah aku pohon ampun atas segala kekurangan dan moga Dia sentiasa memandu kita semua kearah kebenaran yang hakiki..yang jauh dari sebarang syubhah dan omongan palsu!


عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ

Dari Abu Sa’id Al Khudriy Radhiyallahu’anhu beliau berkata: Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam telah bersabda: ‘Janganlah kalian mencela para sahabatku. Seandainya salah seorang dari kalian berinfaq emas seperti gunung uhud tidak akan menyamai satu mud (infaq) salah seorang dari mereka dan tidak pula setengahnya.( Riwayat Bukhari dan Muslim)



Pencinta Muhammad dan sahabat..

abu ilham


p/s : http://bahayairan.wordpress.com/category/syubhat-syubhat/ (website ni boleh dibaca untuk menambah bahan maklumat)